Titian Ilmu Anak Teknologi Pontian


PONTIAN 3 Mac - Pada tahun 60-an hingga 80-an, kedua-dua kampung ini merupakan antara kawasan yang banyak ditanam nanas sebagai sumber pendapatan utama penduduknya.
Kampung yang dimaksudkan adalah Kampung Sungai Naga dan Kampung Parit Dato' Onn yang sebahagian besar kawasannya adalah tanah gambut yang sesuai dengan tanaman nanas.
Baru-baru ini, kedua-dua kampung itu menerima kunjungan penuntut Kolej Ke-10 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menjalankan program khidmat bakti masyarakat.
Program yang dinamakan Titian Ilmu Anak-anak Teknologi Pontian 2010 (TINTEC Pontian 10) memberikan penekanan kepada pemindahan teknologi daripada hasil buangan tanaman nanas kepada penduduk.
Pengerusi program TINTEC Pontian 10, Muhammad Akmal Sarpon, 20, berkata, bahan buangan daripada nanas seperti daun, buah, kulit dan batang nanas boleh digunakan semula untuk menghasilkan pelbagai produk lain.
Menurutnya, hasil kajian yang dijalankan mendapati bahan itu boleh digunakan untuk menghasilkan makanan ternakan, kertas dan baja, sekali gus dapat menjana pendapatan tambahan kepada penduduk kampung.
"Sebagai anak jati daerah ini, saya berasa terpanggil untuk membantu masyarakat setempat khususnya pekebun kecil nanas yang masih setia mengusahakan tanaman tersebut.
"Pemilihan kedua-dua kampung ini amat bertepatan berdasarkan faktor penduduk masih menjalankan aktiviti penanaman nanas," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Seramai 68 peserta mengikuti program itu yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Majlis penutup pula disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.
Muhammad Akmal yang berasal dari Kampung Parit Yassin, Benut berkata, sepanjang program itu, peserta bersama penduduk mengikuti kursus pembuatan kertas dan kraftangan daripada bahan buangan nanas dan membuat baja.
"Peserta juga mengadakan program motivasi kepada pelajar yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ceramah keibubapaan, ceramah 1Malaysia dan ekspo pendidikan mengenai peluang menyambung pelajaran," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Mukim Api-Api, Khalid Jaafar, 66, berkata pihaknya terharu atas pemilihan Kampung Sungai Naga dan Parit Dato' Onn bagi menjayakan program tersebut.
Menurutnya, seramai 22 keluarga di kedua-dua kampung itu menjadi ibu dan bapa angkat kepada para peserta yang menjadikan ia sebagai salah satu pengalaman baru kepada mereka.
"Selain program yang diaturkan oleh penganjur, mereka juga dilibatkan dengan aktiviti masyarakat seperti program keagamaan, sukaneka dan kebudayaan," katanya.
Khalid berkata, kehadiran peserta juga diharap menjadi pemangkin kepada bidang pendidikan dengan adanya program motivasi kepada pelajar di kedua-dua kampung tersebut.
Selain itu, pemindahan teknologi yang didedahkan oleh penuntut berkenaan memberi peluang kepada penduduk kampung mempelbagaikan penggunaan tanaman nanas yang diusahakan mereka.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 3:48 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Titian Ilmu Anak Teknologi Pontian

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]