6 kedai era perang musnah terbakar
11:34 PM
Ahmad Maslan (kiri) meninjau keadaan rumah kedai era perang yang terbakar di Pekan Benut, Pontian, awal pagi semalam.
PONTIAN 6 April - Sebanyak enam buah rumah kedai sederet yang mula digunakan sejak zaman Perang Dunia Kedua di pekan Benut dekat sini musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 pagi itu, kesemua enam pemilik kedai dan tiga penyewa mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM500,000. Seorang pemilik kedai, Lua Sua, 57, berkata, dia adalah orang pertama menyedari kebakaran itu yang bermula di kedai jirannya.
"Saya terus kejutkan isteri dan anak-anak apabila terbau asap dan api di kedai sebelah. Saya cuba padam api dengan air tapi tak dapat kerana ia cepat marak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, mereka enam sekeluarga hanya dapat menyelamatkan surat beranak, namun dia bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya terselamat. Sementara itu, pengusaha kedai makan, Noraini Ambok Loloh, 45, terkejut apabila menerima panggilan daripada rakannya yang memberitahu kedainya terbakar.
"Saya terus datang sebaik sahaja terima panggilan, tetapi tak dapat buat apa-apa kerana api marak dan kedai hangus.
"Saya tak dapat selamatkan apa-apa termasuk wang tunai RM7,000 yang ada dalam kedai. Saya rugi lebih RM10,000 termasuk kos peralatan memasak yang ada dalam kedai," katanya.
Dalam pada itu kesedihan sembilan mangsa kebakaran itu sedikit terubat dengan kunjungan dan bantuan segera yang dihulurkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, selain memberi sumbangan, beliau akan membantu dengan memberi sokongan supaya pihak Majlis Daerah Pontian menjalankan pembangunan sesuai di kawasan berkenaan.
Beliau juga akan meminta Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) supaya mengatasi segera masalah tekanan air rendah di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Pegawai Tingkatan Kanan Bomba dan Penyelamat Pontian, Ahmad Safar memberitahu, jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM500,000 dan punca kebakaran masih disiasat.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.52 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira setengah jam kemudian.
"Sewaktu kami tiba, api sedang marak dan pasukan bomba sukarela giat memadam kebakaran.
"Ketika itu, angin kencang bertiup dari laut ke daratan, namun kita dapat mengawal kebakaran supaya tidak merebak ke kedai lain," katanya sambil memberitahu pihaknya turut dibantu pasukan bomba dari Balai Rengit.
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 11:34 PM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0