BN beri fokus penerangan 1Malaysia, MEB

PONTIAN 6 April - Kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini akan memberi fokus kepada penerangan mengenai kepentingan dan manfaat gagasan 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru (MEB) kepada rakyat dan negara ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, BN juga akan menekankan mengenai konsep perkongsian kuasa yang diamalkan selama ini kepada pengundi pelbagai kaum di kawasan berkenaan.

"Perkara penting rakyat hendak tahu ialah mengenai gagasan 1Malaysia, MEB dan program transformasi yang menguntungkan rakyat serta dasar-dasar kerajaan yang lain.

''Kita tidak akan terlibat dengan fitnah. Kita tidak akan terikut-ikut dengan cara pihak tertentu yang suka menggunakan pendekatan sedemikian," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada sembilan pemilik dan penyewa kedai di Pekan Benut yang terbakar di sini hari ini.

Menurut Ahmad, beliau telah berjumpa dan mengadakan perbincangan dengan para penceramah BN supaya tidak memfitnah sesiapa pun semasa berkempen nanti.

Menurutnya, pengundi di kawasan tersebut yang terdiri kira-kira 53 peratus orang Melayu, 26 peratus Cina dan 19 peratus India perlu memahami bahawa siapa pun calon yang dipilih untuk mewakili BN, beliau harus disokong atas dasar dan semangat kerjasama dalam BN.

"Calon yang dipilih nanti akan membawa lambang dacing iaitu lambang BN. Dia bukan bawa UMNO, MCA atau MIC, tetapi yang penting adalah BN," katanya.

Ditanya mengenai sambutan pengundi di Hulu Selangor terhadap BN, Ahmad optimis parti itu mampu merampas semula kerusi tersebut daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Maklum balas yang kita terima amat baik kerana mereka tahu kerajaan BN sekarang dan semasa memerintah dulu banyak tolong mereka.

"Misalnya, keadaan 52 blok flat di Bukit Sentosa yang rosak sedang dibaiki dengan peruntukan RM15.6 juta seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan beliau ke situ pada awal tahun ini. Tambahan RM2.1 juta lagi diberikan kepada tujuh blok yang lain di kawasan itu.

"Peruntukan ini kerajaan beri tanpa ada pilihan raya pun. Kita mana tahu akan ada pilihan raya kecil seperti sekarang dan kerajaan tetap membantu rakyat," katanya.

Selain itu, jelasnya, beberapa kawasan Felda juga dibantu dengan peruntukan RM24 juta untuk membina 298 unit rumah dengan diskaun RM20,000 menerusi konsep sewa beli kepada anak-anak peneroka yang mengadu tidak mempunyai rumah.

Justeru, menurutnya, dengan usaha berterusan kerajaan membantu rakyat di kawasan berkenaan, BN mampu merampas kembali kerusi berkenaan daripada PKR yang disifatkannya sebagai hanya 'tahu berceramah' sahaja.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:37 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for BN beri fokus penerangan 1Malaysia, MEB

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]