Hulu Selangor: Felda Jadi Medan Pertembungan BN Dan PKR

HULU SELANGOR, 21 April (Bernama) -- Beberapa rancangan Felda di daerah Hulu Selangor menjadi medan pertembungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat dalam usaha meraih sokongan menjelang pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata pakatan itu berada dalam kedudukan terdesak sehingga sanggup menipu, menabur fitnah dan memanipulasikan fakta bagi meraih sokongan peneroka Felda.

Katanya, tindakan itu menunjukkan pembangkang "bankrup" idea sehingga sanggup menghasut warga Felda yang selama ini dibela kerajaan, supaya menyokong mereka.

"Pembangkang bankrup isu, jadi mereka nak pecahkan kubu BN, yang kita amat kesal pembohongan dalam ceramah, fitnah dan tohmahan tak benar juga dalam risalah," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ceramah kepada 200 peneroka Felda di Felda Sungai Tengi Selatan dekat sini pada Rabu.

Ceramah itu bagi menjawab tuduhan, kononnya Felda tidak membela peneroka.

Dalam sesi penerangan itu, Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO mendedahkan beberapa pembohongan pakatan yang disebarkan melalui risalah di Felda Gedangsa, Soeharto, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan.

Mengenai pembohongan kononnya Felda mengabaikan peneroka, beliau berkata dakwaan itu tidak benar malah 70 pembaharuan dilakukan sejak Felda di bawah pemantauan Jabatan Perdana Menteri beberapa tahun lepas.

Beliau juga menafikan dakwaan risalah itu bahawa 25,000 peneroka belum menerima hak milik tanah walaupun sudah melangsaikan pembayaran, namun katanya hampir 70 peratus daripada keseluruhan 112,635 peneroka menerima geran tanah.

Kecuali peneroka di Felda Sungai Tengi Selatan yang belum terima kerana urusan proses dan pembayaran belum selesai, hampir semua peneroka di Felda Gedangsa, Soeharto dan Sungai Tengi telah mendapat geran tanah mereka.

"Surat perjanjian pula boleh dipegang oleh pengurus atau peneroka, atau peneroka boleh meminta pengurus untuk pegang kerana takut hilang dan sebagainya," kata Ahmad menjawab dakwaan surat perjanjian tidak diberi kepada peneroka.

Beliau berkata risalah lawan Barisan Nasional (BN) itu juga menghasut peneroka dengan mendakwa kononnya terdapat peneroka yang diusir keluar dari tanah rancangan itu.

Ahmad berkata individu diusir adalah mereka yang terlibat dengan jenayah.

Beliau juga menafikan dakwaan kononnya peneroka tidak menerima wang RM17,000 bagi setiap ekar tanah yang ditanam semula, malah katanya jika dikira potongan RM4 sehari jumlah bagi tanaman semula itu ialah RM9,600 sahaja.

"Bayaran itu Felda bagi secara peringkat-peringkat untuk tanam dan tebang semula. Kalau kita bagi RM17,000 semua, nanti peneroka kahwin lain, tak jadi tanam semula," katanya disambut gelak ketawa peneroka hadir.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga menafikan kononnya Felda tidak memberi bantuan pendidikan dan keusahawanan kepada peneroka dengan adanya bantuan Skim Insentif Keusahawanan Felda yang berjumlah RM100 juta.

Mengenai Akta Tanah, Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 yang tidak membenarkan tanah Felda digadaikan, Ahmad berkata ia bertujuan menjaga tanah peneroka.

"Dalam risalah ini satu je (dakwaan) betul. Felda kubu kuat Umno/BN, itu betul," kata beliau peneroka mengoyakkan risalah fitnah yang menipu peneroka Felda itu, jika diterima.

Felda juga akan mengedarkan risalah bagi menjawab tuduhan pembangkang selain mengadakan program penerangan Gerak Mesra Felda di Felda Sungai Tengi di sini, bermula Khamis selama tiga hari, kata Ahmad.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 12:50 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Hulu Selangor: Felda Jadi Medan Pertembungan BN Dan PKR

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]