Ketua Penerangan Wanita PKR Perak Keluar Parti

HULU SELANGOR, 20 April (Bernama) -- Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Soraya Sulaiman dan Timbalan Ketua Wanita PKR Bahagian Bagan Serai Roshanita Mohd Basir Selasa keluar daripada parti itu.

Soraya, yang juga Ketua Wanita PKR Tanjong Malim dan Roshanita membuat pengumuman itu di Rumah Wanita Umno Perak di Hulu Selangor yang terletak di Kampung Masjid Sungai Selisik di sini Selasa.

Turut keluar parti ialah suami Roshanita, Saghazali Abd Kadir yang juga setiausaha ranting PKR Kampung Sengat, Bahagian Gopeng.

Soraya berkata keputusan mereka untuk keluar parti kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi PKR yang telah jauh tersasar daripada hala tuju sebenar.

"Setelah 10 tahun berjuang dan berkorban dalam parti, kami langsung tidak dihargai. Nasib wanita di negeri Perak khususnya perlu dibela sebab itu saya pilih BN sebagai platformnya," katanya pada majlis yang turut dihadiri Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau turut menafikan mereka telah 'dibeli' oleh Barisan Nasional (BN) untuk keluar daripada PKR.

"Saya tidak dibayar, dipujuk atau ditawar sebarang duit atau apa saja, tindakan saya keluar parti adalah atas kerelaan sendiri. Kami harap setelah kami keluar ini akan melemahkan sayap wanita PKR Perak," katanya.

Soraya turut mendedahkan bahawa lebih ramai anggota PKR Perak akan mengikut jejak langkah mereka untuk keluar parti dalam masa terdekat.

Sementara itu, Saghazali berkata beliau bertindak untuk keluar PKR kerana merasakan segala perjuangannya selama ini tidak pernah dihargai parti itu.

"Segala apa yang kita lakukan tak pernah dapat ucapan terima kasih oleh kepimpinan tertinggi PKR. Kita bukan nak wang ringgit, cukup sekadar ucapan terima kasih.

"Hasrat kami nak keluar parti tu dah lama, tapi hari ini difikirkan sebagai masa yang paling sesuai. Ini juga satu bonus bagi BN untuk mengalahkan PKR (dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor)," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 12:49 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Ketua Penerangan Wanita PKR Perak Keluar Parti

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]