BN Perlu Kaji Punca Penolakan Pengundi Cina Terhadap BN - Ahmad Maslan

PONTIAN, 17 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu menjalankan kajian komprehensif bagi mengenal pasti punca penolakan sokongan pengundi Cina di kawasan bandar terutama selepas kekalahan BN pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu semalam.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kajian itu perlu meliputi kehendak dan psikologi kaum berkenaan supaya BN dapat memenuhi keinginan masyarakat itu.

Trend penolakan itu dilihat sejak pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh, Bukit Gantang, Hulu Selangor dan kini Sibu, katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pusat perniagaan Benut, di sini, hari Isnin.

"Kita tidak tahu punca kemerosotan sokongan pengundi Cina terhadap BN. Mungkin mereka tidak mahu duit dan mungkin ada perkara lain," katanya, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu, calon DAP Wong Ho Leng menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas Narawi Haron dengan majoriti tipis 398 undi.

Ahmad berkata kajian itu bukan sahaja perlu dilakukan oleh BN malah boleh diusahakan oleh tenaga penyelidik di universiti tempatan.

Dalam perkembangan lain, beliau mencadangkan supaya DAP dan PAS mendesak Penasihat DAP Lim Kit Siang menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Cadangan itu, menurutnya, berdasarkan kedudukan DAP yang kini memiliki 29 kerusi Parlimen berbanding PKR yang memiliki 24 kerusi.

"Sebagai pandangan peribadi, saya merasakan ketua pembangkang mestilah dari kalangan pihak yang banyak memiliki kerusi," tegasnya.

Sementara itu di Padang Besar, Perlis, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata BN perlu memperbaiki kelemahan tertentu berikutan kekalahan calon BN di Sibu.

Katanya keputusan itu perit untuk diterima namum ia tidak mencerminkan rakyat tidak lagi menyokong BN dan UMNO.

Antara kelemahan yang perlu diperbaiki adalah jentera dan gerakan parti komponen BN perlu diperkemaskan dan disatukan, katanya pada majlis perasmian persidangan tahunan cawangan-cawangan UMNO Bahagian Padang Besar hari ini.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:24 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for BN Perlu Kaji Punca Penolakan Pengundi Cina Terhadap BN - Ahmad Maslan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]