Kiraan Detik Menjelang Pilihan Raya Kecil Sibu Bermula

SIBU, 14 Mei (Bernama) -- Kurang dua hari lagi menjelang pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu Ahad ini, apa yang ketara ialah pertarungan sebenar adalah antara Barisan Nasional (BN) dan DAP walaupun ia melibatkan pertandingan tiga penjuru.

Dalam tempoh 48 jam akan datang, siri kempen dijangka menyaksikan jentera pilihan raya BN akan menggunakan semua saluran dalam usaha mempertahankan kerusi majoriti penduduk Cina ini menerusi calonnya Robert Lau Hui Yew dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Peguam berumur 45 tahun itu ditentang calon DAP Wong Ho Leng, 50, yang juga seorang peguam dan anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Assek dan calon Bebas Narawi Haron, 60, pesara tentera yang kini ahli perniagaan.

Dengan DAP memainkan isu-isu sensitif, khususnya membabitkan agama dan kaum serta tanah adat (NCR) untuk meningkatkan sentimen penduduk, pemerhati politik berkata sokongan kepada BN dan DAP agak seimbang.

Narawi, sementara itu, memilih untuk tidak terlalu menonjolkan diri dan hanya bergantung kepada popularitinya dengan harapan tidak hilang deposit pada hari pengundian.

Namun, BN turut dikatakan mempunyai kelebihan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pengerusi BN pusat dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyertai kempen ke merata tempat di kawasan Parlimen itu.

Tinjauan mesra yang dilakukan perdana menteri dan lawatan tanpa dijadualkan untuk bertemu rakyat banyak membantu dalam mengubah persepsi kebanyakan pengundi Cina terhadap kerajaan.

Kaum Cina merupakan hampir 67 peratus daripada 54,531 pemilih berdaftar tetapi sokongan masyarakat Iban serta pengundi Melayu/Melanau juga penting untuk menjadi penentu kemenangan BN pada pilihan raya kecil itu.

Mengakui faktor penting itu, Najib semalam memberikan jaminan kepada penghuni rumah panjang di Rumah Sebastian Onggoh di Pasai Siong, kira-kira 25 km dari sini, bahawa mengundi BN bermakna mengundi kemajuan dan masa depan lebih baik jika dibandingkan janji yang diberikan pembangkang yang hanya berupa retorik.

Seperti dibuktikan oleh keputusan pada pilihan raya lepas, kaum Bumiputera yang memilih untuk terus menjadi penyokong setia BN akan menjadi penentu dalam pilihan raya kecil ini, yang dianggap sebagai pertarungan kaum Foochow - suku etnik Lau dan Wong.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata BN tidak boleh terlalu yakin atau alpa kerana ia juga perlu menumpukan untuk meraih sokongan pengundi atas pagar menerusi penyelarasan jentera pilihan rayanya.

Langkah menyelesaikan masalah bersangkut-paut dengan penduduk seperti pembangunan infrastruktur dan projek mitigasi banjir setakat ini telah menerima maklum balas positif daripada penduduk, khususnya masyarakat Cina, katanya.

Beliau berkata Sibu, sebagai sebuah bandar di tepi sungai yang sedang pesat membangun, mempunyai potensi besar - sebab itu kenapa BN perlu terus dipilih untuk meneruskan perancangan pembangunannya.

Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi kerusi itu menerusi anggota Parlimen Sibu sebelum ini, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew dengan majoriti 3,549 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Wong dan Lim Chin Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata jumlah pengundi yang keluar mengundi pada Ahad ini juga merupakan satu lagi faktor penting memandang peratusan yang keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008 agak rendah iaitu 67.7 peratus dan 62.8 peratus pada 2004 di kawasan Parlimen itu.

"Seluruh jentera pilihan raya BN perlu meningkatkan usaha untuk memastikan sekurang-kurangnya tambahan 10 peratus lagi pengundi keluar mengundi," kata Ahmad, yang telah berada di sini sejak 10 hari lepas untuk berkempen.

Pelbagai faktor akan menjadi penghalang kepada pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka, termasuk masalah pengangkutan bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman serta sikap tidak acuh pengundi atas pagar yang menganggap BN pasti akan menang, katanya.

Beliau berkata kumpulan yang satu lagi ialah pengundi yang memutuskan untuk melakukan undi protes terhadap calon tertentu akibat rasa tidak puas hati terhadap perkara tertentu.

Masih tidak dapat dilihat dengan jelas sama ada mana-mana kem telah berjaya memenangi hati dan minda pengundi untuk memilih calon masing-masing apabila mereka mengundi Ahad ini.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:20 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Kiraan Detik Menjelang Pilihan Raya Kecil Sibu Bermula

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]