Umno Bahagian Diingatkan Ikut Format Dan Tema Juara Rakyat: Ahmad Maslan
10:01 PM
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Semua Umno bahagian perlu mengikut format dan tema yang ditetapkan bagi penganjuran Program Juara Rakyat dalam memastikan keberkesanan program berkenaan, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata program tersebut adalah penting dan serius kepada parti dan format serta tema yang diberikan perlulah mengikut apa yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi Umno.
"Presiden dan Timbalan Presiden telah memaklumkan betapa seriusnya program ini kerana kita harus selalu berada di atas padang beramah mesra bersama rakyat. Program Juara Rakyat ini bukan sahaja program Umno bahkan ia juga program Barisan Nasional (BN).
"Ada sesetengah bahagian yang tidak ikut format, tema dan ada juga yang tidak memanggil parti komponen lain. Juara Rakyat perlu melibatkan semua kaum dan program ini juga adalah bertujuan untuk kita mengembangkan gagasan 1Malaysia di peringkat parti," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Beliau berkata tujuan MT menggariskan format dan tema adalah untuk memastikan rakyat tidak jemu dengan program yang dianjurkan itu.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Program Juara Rakyat peringkat Wilayah Persekutuan akan diadakan Sabtu ini yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya pelbagai acara telah disusun untuk program berkenaan yang antaranya akan menyaksikan Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN menghadiri majlis perkahwinan serentak pasangan pengantin Melayu, Cina dan India, menaiki bas ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus serta bersantai dan bersarapan bersama rakyat.
"Kita menjangkakan seramai 15,000 orang akan hadir pada program ini dan program ini akan melibatkan tiga (kawasan) Parlimen iaitu Titiwangsa, Setiawangsa dan Bandar Tun Razak," katanya.
Program dijadualkan akan dilancar di PPR Perkasa di Jalan Cochrane pada pukul 8.30 pagi.
Sementara itu, menyentuh mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan berkata bahawa jentera parti perlu lebih kreatif dan bertenaga, Ahmad berkata beliau mencadangkan supaya BN Sarawak mengadakan kursus ala Semenanjung kepada semua jentera partinya.
"Ini adalah kerana BN Sarawak tidak pernah mengalami budaya seperti di Semenanjung dalam pilihan raya kecil. Jadi saya syorkan kepada BN Sarawak adakan kursus, ajar kaedah berpolitik tiga parti pembangkang ini," katanya.
Menyentuh mengenai hasrat Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu semalam yang mengumumkan untuk melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 1979 dalam tempoh "lapan atau sembilan" bulan sebelum penggalnya sekarang tamat pada Mei 2012, Ahmad berkata ia adalah satu keputusan yang perlu dihormati.
"Ini adalah perkembangan yang positif dari Samy Vellu yang menunjukkan keikhlasan beliau untuk menyerahkan kepimpinannya lebih awal kepada Timbalannya Datuk G. Palanivel dan memberi masa kepada Palanivel untuk lebih bersedia mengambil alih kepimpinan.
"Persepsi negatif yang selama ini diberikan kepada Samy Vellu tidak semestinya benar. Kita mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh beliau," katanya.
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 10:01 PM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0