TPM rasmi Juara Rakyat WP Sabtu ini
10:02 PM
KUALA LUMPUR 19 Mei - Seramai 15,000 pengunjung dijangka hadir ke majlis pelancaran program Juara Rakyat peringkat Wilayah Persekutuan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan berlangsung di tiga kawasan Parlimen berbeza Sabtu ini.
Program yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 pagi itu bakal diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk majlis perkahwinan tiga pasangan dari kaum Melayu, Cina dan India.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pada majlis itu juga rakyat berpeluang menikmati sarapan nasi lemak dan dan kopi 'o' bersama Timbalan Perdana Menteri yang berlangsung dalam suasana santai.
"Pada pukul 8.30 pagi, Timbalan Perdana Menteri akan bersarapan bersama kira-kira 7,000 warga kota di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cochrane Perkasa disusuli pemberian bantuan kepada 250 rakyat miskin pelbagai kaum di Parlimen Titiwangsa.
"Kemudian beliau bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) akan menaiki bas ke PPR Sungai Bonus di dalam Parlimen Setiawangsa untuk beramah mesra dengan 3,000 warga kota sebelum ke Parlimen Bandar Tun Razak bagi menghadiri majlis perkahwinan tiga pasangan berbeza kaum yang dijalankan serentak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai program berkenaan di Menara Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Program Juara Rakyat Wilayah Persekutuan merupakan yang kelima dilancarkan selepas kejayaan pelancaran di Kedah, Perak dan Kelantan.
Di peringkat kebangsaan, program itu telah dilancarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 Januari lalu bertempat di Bukit Beruntung, Hulu Selangor yang menarik lebih 20,000 pengunjung.
Sementara itu, Ahmad Maslan pada sidang akhbar sama turut memberi peringatan kepada mana-mana bahagian UMNO yang menjalankan program Juara Rakyat agar patuh kepada tema serta format yang ditetapkan.
Tegasnya, adalah perlu tema itu dipatuhi supaya rakyat dapat melihat kepelbagaian idea yang wujud di dalam UMNO bagi membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.
"Setakat ini program Juara Rakyat sudah dilaksanakan di hampir semua UMNO bahagian melibatkan 191 program bulanan. Kita puas hati dengan penganjuran, cuma ada sesetengah bahagian yang tidak mengikut tema dan format ditetapkan.
"Ada yang tidak mengikuti format penganjuran iaitu perlu mengadakan program dua hari satu malam. Semua itu perlu selain jemputan kepada parti komponen dan masyarakat sekitar untuk sama-sama menyertai program itu. Tidaklah kita dikatakan 'syok sendiri' nanti," ujarnya.