Felda Akan Saman Akhbar Suara Keadilan
11:29 PM
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menyaman akhbar Suara Keadilan serta beberapa pemimpin pembangkang kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadap organisasi itu minggu lepas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata saman itu akan difailkan dalam masa terdekat melalui barisan peguam yang dilantik dan akan menamakan beberapa tokoh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan editorial akhbar itu.
Katanya antara pemimpin PKR yang mungkin disaman ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anggota Majlis Tertingginya Datuk Zaid Ibrahim, Pengerusi Biro Felda Suhaimi Said, Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Datuk Dr Tan Kee Keong, Anggota Parlimen Kuala Terangganu Abdul Wahid Endut, pemilik permit akhbar dan Ketua Pengarang Suara Keadilan.
Akhbar Suara Keadilan pada keluaran bertarikh 22-26 Jun lepas menyiarkan berita utama di muka hadapan bertajuk "Felda Bangkrap" (ejaan betul Bankrap) dan empat lagi artikel di dalam keluaran sama.
Bercakap pada satu sidang akhbar di ibu pejabat Felda, di sini hari ini, Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno, berkata pembangkang bersifat hasad dengki dengan hasil usaha pembangunan Felda sebagai tanah bersepadu paling berjaya di dunia, termasuk melahirkan 225,270 peneroka di 317 buah tanah rancangan sejak dimulakan pada 1956.
Beliau berkata Felda adalah antara pemilik ladang terbesar di dunia dengan memiliki 340,000 hektar ladang yang menghasilkan keuntungan bersih purata RM1.1 bilion setahun dalam tempoh enam tahun lepas.
"Felda mempunyai pelaburan di luar negara seperti Indonesia, China dan Arab Saudi, kedudukan kewangan Felda kini sangat kukuh berdasarkan nisbah kewangan. Aset bersih sekarang berjumlah RM12.2 bilion," katanya.
"Tuduhan Felda bankrap adalah keterlaluan... akhbar ini (Suara Keadilan) dijual di merata-rata. Tajuknya "Felda Bangkrap", titik. Bukan mempunyai tanda soal. Kalau sebut mungkin bankrap lain sikit atau ada tanda soal," katanya.
Turut hadir pada sidang akhbar itu Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab, Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan & Kewangan) Felda Suhaimi Zainuddin bersama 22 Ketua Peneroka Felda di seluruh negara.
Ketua Peneroka Wilayah Sahabat di Sabah, Abu Haris Mashuddin, 55, berkata peneroka di seluruh negara termasuk Sabah tidak mempercayai dakwaan yang bersifat menghasut rakyat.
Ketua Penerokawati Wilayah Raja Alias dari Felda Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan, Ramlah Jelani, 55, berkata artikel itu tidak memberi gambaran sebenar mengenai Felda memandangkan organisasi itu memberikan peruntukan mencukupi bagi peneroka pada setiap tahun.
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 11:29 PM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0