Kewangan Felda merosot, aset meningkat
6:32 PM
Kewangan Felda merosot, aset meningkat
KUALA LUMPUR 16 Jun - Kemerosotan kedudukan kewangan Felda daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009 adalah disebabkan badan itu berbelanja ke arah peningkatan sosioekonomi para peneroka dan pembelian beberapa asetnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menjelaskan, sebagai contoh, Felda telah mengeluarkan sebanyak RM603 juta kepada 19,546 peneroka sebagai pinjaman mudah tanpa riba bagi program membesarkan dan penambahbaikan rumah mereka.
Selain itu, katanya, kemerosotan kewangan badan itu sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun tersebut juga disebabkan oleh perbelanjaan membeli Menara Felda berharga RM662 juta.
''Satu lagi (perbelanjaan Felda) adalah RM253 juta sebagai dana khas bantuan membasmi kemiskinan di Sabah, itulah (sebab) duit merosot dari segi kedudukan tunai.
''Namun, harta atau aset semasa Felda dalam tempoh 2004 sehingga 2009 meningkat sebanyak RM6.2 bilion berbanding kemerosotan kewangan sebanyak RM2.73 bilion," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Hamim mempersoalkan mengenai dakwaan melalui surat terbuka di Internet yang menuduh kononnya pimpinan kerajaan kini membelanjakan wang Felda sehingga mampu membuatkan badan itu muflis.
Sementara itu, Ahmad Maslan ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) menjelaskan, Felda merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang memberi pendapatan minimum sebanyak RM1,000 sebulan kepada para peneroka.
Selain itu, katanya, sebanyak 65 peratus daripada para peneroka Felda di seluruh negara kini telah diberi geran hak milik tanah yang mereka usahakan.