Kenakan tindakan undang-undang

Kenakan tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR 7 Julai – Pelbagai pihak menggesa polis supaya menahan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas Raja Petra Kamaruddin jika terdapat bukti kukuh terhadap kesalahan fitnah yang dilakukannya.

Presiden Alumni Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan perlu menggunakan hubungan diplomatik dengan United Kingdom untuk segera membawa pulang Raja Petra ke tanah air untuk diadili.

“Tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadapnya dan pihak yang menaja kerana fitnah yang ditaburkan melalui laman web berhubung isu-isu sensitif telah menggugat keharmonian rakyat di negara ini.

“Kebebasan yang diberikan oleh kerajaan untuk menulis di laman web tidak semestinya digunakan untuk menghasut dan membelakangkan undang-undang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai gambar yang dipetik daripada laman web Malaysia-instinct.com menunjukkan Raja Petra bersama peguam Amarjit Singh Sidhu; Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim; P. Balasubramaniam dan seorang individu yang tidak dikenali di London baru-baru ini.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir di mahkamah bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui portal Malaysia Today.

Kata Shamsul Anuar, jika pengendali portal antikerajaan Malaysia Today itu tidak dibawa pulang untuk dihadapkan ke mahkamah, dia akan bertindak lebih berani lagi untuk mengelirukan rakyat.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar pula berkata, orang seperti Raja Petra adalah pengkhianat kaum Melayu dan patut diambil tindakan undang-undang dengan segera.

“Seseorang yang menabur fitnah sehingga menggugat kestabilan kerajaan dan keharmonian rakyat patut dihukum dengan sewajarnya.

“Tindakan undang-undang ke atasnya akan memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama,” ujarnya.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, gambar Raja Petra yang tertera di muka depan akhbar Utusan Malaysia semalam menggambarkan dia bersuka ria di London dan tidak takut langsung tentang peraturan negara yang dilanggarnya.

Menurutnya, lagi cepat proses undang-undang diambil terhadap Raja Petra adalah lebih baik kerana jika tidak rakyat berpendapat fitnah yang ditaburkannya selama ini adalah perkara benar.

“Orang seperti Raja Petra ialah alat pembangkang untuk mencipta cerita dengan tujuan menimbulkan persepsi negatif terhadap perkara yang dilakukan kerajaan.

“Dia menjadi jurucakap kepada PKR yang turut mempengaruhi pengikut dan penyokongnya untuk menghasilkan fitnah terhadap Felda yang kononnya sudah bankrap,” katanya

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 2:25 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Kenakan tindakan undang-undang

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]