Suara Keadilan tetap disaman RM200 juta
2:31 AM
Suara Keadilan tetap disaman RM200 juta
TANJUNG MALIM 7 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memutuskan 'berjumpa' Suara Keadilan di mahkamah berikutan kegagalan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu meminta maaf kerana menyiarkan artikel bertajuk Felda Bangkrap.
Keputusan meneruskan saman RM200 juta itu turut disokong lebih 10,000 peneroka yang hadir menyambut Hari Peneroka di Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) Trolak dekat sini.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu diambil berikutan notis saman dihantar oleh Felda kepada pihak yang membuat tuduhan yang tidak berasas sebelum ini telah cukup tempoh seminggu.
Pada perhimpunan itu, beliau bertanya sebanyak tiga kali kepada para peneroka yang menghadiri sambutan tersebut "nak kita teruskan (saman), tidak?" dan disahut jawapan "teruskan" daripada hadirin.
"(Kalau begitu) Kita tetap akan teruskan tindakan mahkamah. Dah cukup tempoh seminggu, Hari Peneroka ini kebetulan cukup tempoh seminggu. Suara perhimpunan kita hari ini kata, jumpa di mahkamah nanti," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab dan Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.
Menurut Najib, Felda perlu terus dipertahankan sebagai organisasi yang telah banyak berjasa dan tidak boleh tunduk kepada tuduhan pihak tidak bertanggungjawab menyatakannya bankrap.
Najib berkata, seseorang atau sesebuah organisasi tidak boleh menjadi bankrap hanya kerana 'dilabelkan' oleh pihak tertentu.
"Apa makna kalau seorang itu bankrap, atau sesebuah organisasi bankrap? Kalau bankrap seseorang manusia itu barang kali manusia itu tinggal pakai baju singlet, seluar pendek, selipar Jepun, rumah telah dilelong oleh bank. Itu peringkat individu.
"Kalau peringkat gunakan prinsip akaun sebagai sebuah organisasi bererti bahawa hutang kita lebih besar daripada aset kita sehingga kita tidak boleh membayar hutang dan orang yang memberi pinjam itu memohon melalui mahkamah untuk membankrapkan kita.
"Itu definasi bankrap sebuah perniagaan dari prinsip akaun undang -undang negara," tegasnya.
Perdana Menteri turut melahirkan kehairanannya dengan dakwaan akhbar milik pembangkang tersebut memandangkan Felda kini mempunyai aset wang tunai kira-kira RM1.3 bilion.
"Macam mana mereka kata Felda bankrap, kalaulah dari segi wang tunai hari ini Felda ada RM1.3 bilion dan simpanan-simpanan tetap lain. Ini tak termasuk dalam syarikat-syarikat Felda," katanya.
Selain itu, katanya, organisasi tersebut juga telah melabur dengan membeli saham berjumlah RM844 juta tetapi kini harganya melambung naik lima kali ganda dengan nilai RM4 bilion.
Tambah beliau, ladang-ladang komersial milik Felda yang berharga RM2.5 bilion jika dijual mampu mencapai nilai RM10 bilion.
"Kita gunakan wang tunai ini untuk apa? Untuk kita menentukan kepentingan jangka panjang kita agar terbela dan terjamin. Apabila kita buat pelaburan di Kanada dan Amerika Syarikat, kerana apa? Kita nak menembusi pasaran mereka untuk mempengaruhi pasaran antarabangsa.
"Ini supaya minyak sawit kita dan produk-produk hiliran kita akan lebih laku. Kalau lebih laku, harga sawit lebih tinggi, kalau harga sawit tinggi, peneroka dapat pendapatan lebih.
"Kita melabur, kita bukan joli katak. Kita bukan songlap duit, kita melabur, melabur untuk kesejahteraan peneroka," kata beliau.
Pada masa sama, Najib berkata, Felda juga menggunakan RM2.4 bilion untuk tujuan projek tanaman semula bagi memastikan hasilnya lebih tinggi.
"Lagi, kita belanja untuk menolong pembangunan kesejahteraan sosial peneroka umpamanya pinjaman tanpa riba terbaik di dunia, RM40,000 pada setiap peneroka yang buat pinjaman baik pulih rumah.
"Perubahan yang besar telah berlaku melalui Felda sebab kerajaan tak beri sumbangan pada Felda, Felda guna wang sendiri," katanya.
Jelasnya, sebanyak RM603 juta dikeluarkan sebagai pinjaman kepada peneroka oleh Felda yang ingin membaik pulih rumah mereka.
Felda juga, kata beliau, turut melakukan pelaburan yang bijak apabila membina menara baru di sebelah Menara Berkembar Petronas berikutan harga sekaki persegi tanah di kawasan itu kini meningkat daripada RM930 kepada RM1,500.
"Kita buat begitu kerana apa? Kerana ini imej kita, orang akan bertambah yakin dan ini juga satu bentuk pelaburan. Hari ini kalau kita jual bangunan itu senang-senang dapat RM300 juta, 10 tahun lagi, mungkin RM1 bilion, RM2 bilion untung," katanya.
Najib turut membangkitkan persoalan, sekiranya Felda benar-benar bankrap, organisasi tersebut tidak wajib membayar zakat sedangkan usaha tersebut dilakukan setiap tahun di negeri-negeri.