77 sertai kursus sembelih ayam

77 sertai kursus sembelih ayam


AHMAD Maslan (duduk kanan) menyembelih ayam sempena kursus penyembelihan ayam di Surau Parit Haji Yusof, Kampung Lubok Sipat, Benut, semalam.


PONTIAN 3 Ogos - Seramai 77 orang menyertai kursus penyembelihan ayam anjuran Jawatankuasa Surau Parit Haji Yusof, Lubok Sipat bersama sebuah syarikat swasta di sini, semalam.

Mereka terdiri daripada belia dan penduduk Mukim Benut yang ingin mempelajari cara penyembelihan dengan betul.

Sempena kursus tersebut, turut diadakan perasmian Surau Haji Yusof yang dibina dengan kos RM250,000 bagi menggantikan surau lama yang sudah uzur.

Perasmian kedua-dua program tersebut dilakukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Ahmad dalam ucapannya mengalu-alukan inisiatif ahli jawatankuasa surau berkenaan menganjurkan kursus penyembelihan ayam kepada orang ramai supaya lebih ramai orang boleh melakukannya.

Katanya, dengan cara penyembelihan yang menepati hukum syarak, ia menjamin ayam yang dimakan orang ramai adalah halal dan tidak menimbulkan keraguan dan syak wasangka.

Menurutnya, mereka juga boleh menawarkan kemahiran dengan bertugas di pusat penyembelihan ayam bagi memastikan daging dijual adalah halal.

"Kita kerap dikejutkan dengan kegagalan pusat penyembelihan ayam mematuhi peraturan yang ditetapkan, bukan sahaja dari segi sembelihan tetapi juga kebersihan dan sebagainya," katanya.

Justeru, beliau berharap pusat penyembelihan ayam dapat memastikan mereka menggunakan kakitangan mahir dan berkebolehan melakukan tugasan tersebut.

Mengenai surau pula, beliau meminta masyarakat Islam mengambil peluang ketibaan Ramadan pada minggu depan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

"Kerajaan telah berusaha memenuhi segala permintaan orang ramai bagi mendapatkan sebuah masjid dan surau selesa, namun ia perlu dihargai dengan baik," katanya.

Beliau berharap jawatankuasa masjid dan surau memainkan peranan bagi menambahkan kehadiran jemaah.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 12:31 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for 77 sertai kursus sembelih ayam

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]