Penganggur disaran sertai latihan kemahiran

Penganggur disaran sertai latihan kemahiran

PONTIAN 8 Ogos - Masyarakat belia yang masih menganggur disaran agar menyertai latihan kemahiran di institusi latihan bagi membina masa depan yang lebih baik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, ini kerana penubuhan institusi latihan merupakan langkah kerajaan bagi membantu golongan tersebut selepas mereka tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, selain agensi dan jabatan kerajaan, terdapat juga institusi latihan yang ditubuhkan oleh pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mereka sertai.

Menurut beliau, bidang kemahiran tidak boleh dianggap sebagai 'kelas kedua' kerana ia boleh memberikan pendapatan yang lumayan seperti mana kerjaya doktor, jurutera, peguam, arkitek dan sebagainya.

"Kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai masa depan golongan muda supaya mereka juga mempunyai kehidupan yang baik seperti orang lain," katanya pada majlis GiatMara Dekat Rakyat dan Program Bantuan Rumah (PBR) 2009/2010 di Pusat GiatMara Pontian di sini, semalam.

Turut diadakan adalah penyampaian sumbangan pakaian seragam kepada 50 orang kanak-anak miskin bagi Parlimen Pontian dan Tanjung Piai.

Program PBR melibatkan kerja-kerja pendawaian elektrik, membuat tandas, mengecat rumah, memasang saluran paip yang dijalankan di rumah penduduk miskin oleh para peserta GiatMara.

Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, GiatMara yang merupakan institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) memainkan peranan bagi memberikan kemahiran kepada belia di kawasan luar bandar.

"Di GiatMara, mereka menerima pelatih berusia antara 18 hingga 19 tahun termasuk yang tidak mempunyai kelulusan khusus serta menyediakan elaun sebanyak RM200 sebulan," katanya.

Katanya, peluang sedemikian perlu direbut khususnya belia-belia Melayu bagi mendapatkan kemahiran seperti di bidang pembinaan, jahitan, pendawaian elektrik, kerja paip, automotif dan sebagainya.

Jelas beliau lagi, pelajar-pelajar lepasan GiatMara juga boleh mengikuti latihan di peringkat diploma dan lebih tinggi di mana-mana institusi latihan yang sentiasa terbuka menerima mereka.

Oleh demikian, beliau berharap, ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak mereka mengikuti latihan bukan sahaja di GiatMara tetapi di mana-mana sahaja institusi latihan di negara ini.

"Walaupun mereka boleh mendapat pekerjaan di mana-mana sahaja, namun sekiranya dibekalkan dengan kemahiran dan sijil-sijil tertentu, mereka boleh mendapat upah atau gaji yang lebih baik," jelas beliau.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:26 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Penganggur disaran sertai latihan kemahiran

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]