Jentera Penerangan Umno Setuju Perpaduan Umno-PAS, Kata Ahmad Maslan
12:30 AM
Jentera Penerangan Umno Setuju Perpaduan Umno-PAS, Kata Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Jentera penerangan Umno rata-rata menyatakan sokongan terhadap perpaduan antara Umno dan PAS yang dilihat bukan sahaja menguntungkan orang Melayu tetapi turut memberi manfaat kepada semua kaum di negara ini, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata majoriti orang Melayu di negara ini juga sudah tentu bersetuju tentang cadangan perpaduan itu kerana ia tidak akan merugikan sesiapa.
Sehubungan itu, beliau berkata usaha perpaduan itu perlu difikirkan secara serius oleh kedua-dua pihak sempena kedatangan bulan Ramadan dalam masa dua hari lagi.
"Alangkah eloknya sempena bulan Ramadan ini kita memikirkan secara serius tentang perkara-perkara yang ada hubung kait untuk kebaikan umat dan kalau ada usaha-usaha ke arah perpaduan itu, semua rakyat di Malaysia ini untung, itu yang penting.
"Bulan Ramadan ini juga bulan yang amat baik untuk kita membuat genjatan senjata, jangan mengata orang, jangan memfitnah dan jangan menimbulkan isu-isu sensitif.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai isu-isu semasa kepada 457 ketua penerangan Umno bahagian dari seluruh negara oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini.
Ahmad berkata jika bangsa terbesar itu berpadu dan berpakat untuk tidak lagi berselisih seperti yang telah berlaku, seluruh negara ini akan menjadi lebih maju dari sekarang.
"Perpaduan ini bukan hanya dilihat dari sudut untung bangsa Melayu tetapi untung seluruh rakyat Malaysia, yang rugi hanya beberapa pemimpin DAP dan beberapa pemimpin PKR (Parti Keadilan Rakyat)," katanya.