Yayasan Felda sumbang 100 jenis ubat
12:33 AM
PUTRAJAYA 6 Ogos - Yayasan Felda hari ini menyumbangkan 100 jenis ubat bernilai RM30,000 kepada Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Gaza untuk disalurkan kepada penduduk di wilayah itu. Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan kepada Presiden Kelab Putera 1Malaysia merangkap ketua misi, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di pejabat beliau di sini hari ini. Pada majlis penyerahan sumbangan itu, Ahmad turut mengumumkan satu Tabung Kemanusiaan Gaza akan digerakkan pada karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) yang dilaksanakan di 11 wilayah Felda seluruh negara bermula Julai hingga November ini. "Pada petang ini saya akan merasmikan karnival pertama di Felda Keratong, Rompin dan kita akan adakan tabung derma khas untuk misi Gaza ini sebagai salah satu usaha murni yayasan ini . "Saya mengharapkan misi ini berjaya dan selamat sampai seterusnya dapat menyalurkan sumbangan kepada pihak berkaitan," katanya. Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Gaza yang akan bergerak dalam kumpulan terakhir esok disertai 30 doktor pakar perubatan pelbagai kaum termasuk artis terkenal tanah air, Fauziah Latiff. Sementara itu, Abdul Azeez berharap pihak lain akan turut tampil menyalurkan bantuan dalam misi tersebut sekali gus sebagai suntikan semangat kepada para sukarelawan yang akan ke sana. "Sumbangan sebegini menjadi kayu ukur untuk meneruskan misi bantuan lain pada masa akan datang, bukan setakat duit tetapi apa yang lebih penting suntikan semangat untuk dibawa ke sana," katanya.
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 12:33 AM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0