Ahli UMNO perlu bezakan parti dan Perkasa

PONTIAN 12 Sept. - Kira-kira 1.3 juta ahli UMNO di seluruh negara yang menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) diingatkan supaya tahu membezakan antara perjuangan parti dan pertubuhan itu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, perbezaan itu tidak seharusnya menjejaskan kesetiaan terhadap UMNO yang mempunyai peranan dan fungsi lebih besar berbanding Perkasa.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, adalah penting ahli UMNO yang menyertai Perkasa mengutamakan kepentingan parti melebihi segalanya.
"UMNO tidak menghalang ahlinya menyertai Perkasa tetapi mereka harus menyokong calon-calon BN semasa pilihan raya walaupun BN menolak NGO Melayu itu.
"Perkasa merupakan NGO Melayu yang memperjuangkan isu-isu orang Melayu sebaliknya UMNO bukan sahaja bertanggungjawab kepada orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbukanya di Dewan Kampung Lubok Sipat, Benut dekat sini hari ini.
Ahmad mengulas kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menyatakan tidak semua ahli UMNO akan mengundi calon BN pada pilihan raya umum akan datang.
Ekoran itu, mesyuarat bulanan BN yang dipengerusikan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Adnan Mansor, telah mencapai persetujuan untuk menjauhi Perkasa dengan alasan dikhuatiri akan menjejaskan keupayaan BN dalam meraih sokongan pelbagai kaum dan konsep 1Malaysia.
Mengulas lanjut, Ahmad menyifatkan kenyataan Ibrahim itu adalah pandangan peribadinya dan tidak mewakili keseluruhan ahli Perkasa.
Katanya, perbezaan pendapat dan tuduh menuduh antara UMNO dan Perkasa harus dihentikan kerana kedua-duanya mempunyai perjuangan dan pengaruh yang berbeza.
"Ruang lingkup dan perjuangan UMNO lebih luas bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia dengan penubuhan 45 kelab ahli UMNO berbanding Perkasa yang hanya ditubuhkan dua atau tiga tahun lalu," ujarnya.
Tambahnya, pandangan sedemikian juga tidak akan memberikan kesan terhadap UMNO dan BN sekiranya ahli UMNO memahami perjuangan parti dan gabungan itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa ahli UMNO agar terus memberi sokongan dan komitmen kepada parti bagi memastikan BN terus memenangi hati rakyat.
Sementara itu, pada majlis tersebut, turut diadakan penyampaian derma siswa kepada pelajar cemerlang serta mangsa bencana alam oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).
Turut hadir, isteri Ahmad, Datin Noraini Sulaiman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Jahis Othman.
Kira-kira 5,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri rumah terbuka tersebut yang disajikan dengan pelbagai juadah tradisonal dan moden.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:00 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Ahli UMNO perlu bezakan parti dan Perkasa

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]