Felda tak pernah tipu
4:08 AM
Felda tak pernah tipu
HM - Aug 13, 2010
KUALA LUMPUR: Felda mempunyai sistem pembelian kelapa sawit yang telus dan profesional menyebabkan tidak mungkin wujud ruang penipuan atau penyelewengan.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, isu 766 peneroka di Felda Serting, Negeri Sembilan yang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Seremban, Isnin lalu bagi menuntut ganti rugi RM200 juta daripada Felda atas dakwaan menipu hanya bermotifkan politik berikutan pihak tertentu memesong dan memutarbelitkan fakta.
"Mereka menggunakan keputusan mahkamah terhadap kes saman 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan pada 2008 sebagai asas tindakan sama di Serting.
"Perkara ini terbukti menerusi pengedaran risalah di beberapa Felda mendakwa kononnya mahkamah sudah membuat keputusan muktamad membayar RM11 juta kepada peneroka di situ.
"Ingin saya tegaskan bahawa keputusan belum muktamad kerana semakan kehakiman sedang dilakukan dan untuk makluman, Felda kalah dalam kes itu bukan disebabkan menyeleweng dalam urus niaga kelapa sawit, sebaliknya peguam tidak hadir ke mahkamah atas sebab teknikal," katanya dalam sidang media di sini, semalam bagi menjelaskan isu saman peneroka Gugusan Raja Alias, Serting mengenai kadar perahan minyak.
Ahmad berkata, urusan jual beli kelapa sawit dilakukan Felda Palm Industries Sdn Bhd (FPISB) dengan 64.7 peratus saham dipegang Koperasi Permodalan Felda (KPF) sekali gus menunjukkan peneroka adalah pemegang saham terbesar.
"FPISB ditubuhkan khusus bagi memberi perkhidmatan membeli buah sawit peneroka dalam apa jua keadaan.
"Selain itu, ada beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa Persepakatan Bersama (JCC), Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) dan Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) untuk membincang, memantau dan menyelesaikan segala aduan berkaitan jual beli, harga, kualiti dan kadar perahan sawit.
"Peneroka juga menerima slip yang mencatatkan kualiti tandan sama ada busuk, mengkal, panjang, kotor atau muda.
"Jika tidak berpuas hati, mereka boleh terus mempertikaikan slip itu dengan membawa ke kilang untuk penelitian semula," katanya.
Katanya, dengan pelbagai bentuk saluran disediakan, tidak mungkin wujud ruang untuk Felda menyeleweng, malah sebagai institusi dihormati, badan itu tidak pernah menipu peneroka yang membangunkan industri sawit negara.
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 4:08 AM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0