Calon BN Galas: Tengku Razaleigh umum pendirian esok

Calon BN Galas: Tengku Razaleigh umum pendirian esok


TENGKU Razaleigh Hamzah bersama Mustapa Mohamed dan Ahmad Maslan setiba beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari London, semalam. – BERNAMA

SEPANG 9 Okt. – Tengku Razaleigh Hamzah akan mengumumkan pendiriannya pada Isnin ini sama ada menerima atau menolak cadangan menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari London hari ini, beliau berkata, perkara itu hanya akan diputuskan oleh beliau selepas berbincang dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengenai dakwaan Pas bahawa beliau akan merendahkan martabatnya sekiranya menerima cadangan untuk menjadi calon, Tengku Razaleigh berkata, itu hanya pandangan parti tersebut.

Jelasnya, beliau menghormati pandangan parti pembangkang itu tetapi pada masa yang sama pandangan UMNO (mencadangkan beliau sebagai calon) juga perlu dihormati oleh Pas.

“Perkara itu (soal calon) tidak berbangkit sebab kita tidak bermesyuarat lagi dan tunggu selepas mesyuarat pada Isnin ini,” katanya.

Hadir menyambut beliau di KLIA ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Semalam di Sydney, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Tengku Razaleigh adalah calon paling layak bertanding pada pilihan raya kecil itu kerana kewibawaan beliau khususnya di Gua Musang dan nasional.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas akibat barah paru-paru pada 27 September lalu.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau menerima pelantikannya sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN tersebut.

Menurutnya, beliau menerima pelantikan itu atas rasa tanggungjawab sebagai ahli UMNO, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun dan ahli Parlimen kawasan tersebut.

Mengenai isu royalti minyak yang cuba diputarbelitkan Pas semasa kempen pilihan raya itu nanti, beliau berkata, ia tidak wajar dibangkitkan kerana kerajaan Pas sudah membawa kes itu ke mahkamah.

“Ia isu nasional dan apabila isu itu sudah dibawa ke mahkamah, ia jadi subjudis.

“Saya tidak akan beralah kerana sebagai ahli UMNO saya akan bertegas demi perjuangan bagi pihak rakyat Kelantan khususnya Hulu Kelantan di Gua Musang,” katanya.

Ditanya mengenai keyakinan Pas untuk mempertahankan kerusi DUN itu, beliau berkata: “Kita tengok pada 4 November nanti (hari pengundian).”

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:40 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Calon BN Galas: Tengku Razaleigh umum pendirian esok

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]