Jadikan iktibar - Najib
9:50 PM
Jadikan iktibar - Najib
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepada semua rakyat supaya mengambil iktibar bahawa kehilangan kuasa Barisan Nasional (BN) di beberapa negeri telah memberi kesan buruk terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat.
Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, langkah kerajaan Selangor menolak mentah-mentah projek pembangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sebidang tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat tidak melakukan kesilapan yang sama pada pilihan raya umum akan datang.
"Andai kita hilang kuasa, projek yang murni boleh ditolak mentah-mentah. UiTM tidak dapat dibina. Bukan itu sahaja, balai raya untuk faedah rakyat juga tidak dapat dibina dan pelbagai lagi masalah.
"Ini peringatan kepada kita. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Kita ada peluang untuk betulkan keadaan ini," katanya ketika berucap pada Malam Sejuta Harapan Keenam Sempena Ulang Tahun Yayasan Basmi Kemiskinan di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini malam ini.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom.
Dalam ucapannya itu, Najib berkongsi impiannya untuk melihat tanah milik YBK di Serendah dibangunkan supaya ia mampu memberi faedah kepada golongan miskin secara berterusan.
Bagaimanapun beliau berkata, impiannya itu hanya tinggal impian sekiranya BN tidak diberikan peluang untuk memerintah Selangor pada masa akan datang.
"Saya memasang impian untuk melihat tanah milik YBK ini dibangunkan. Walaupun UiTM tidak jadi dibina itu tidak bermakna tanah ini tidak boleh dimajukan.
"Saya percaya kita mampu melakukan perubahan demi masa depan rakyat asalkan BN diberi kuasa memerintah semula," ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan terus memberi perhatian kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik di dalam setiap program dan perancangan yang dirangka.
"Antaranya Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Kesemua program ini memasukkan keprihatinan kerajaan kepada orang miskin dan kurang bernasib baik," katanya lagi.