8:28 PM
Bapak mesti mengajar Anak supaya lebih beradab
KELMARIN, tertubuhlah Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang ditugaskan khas untuk menjaga hal-ehwal Felda.
Tahniah diucapkan kepada Felda yang menjadi 'anak angkat' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dan juga syabas kepada Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) khususnya Pengerusinya Tan Sri Rozali Ismail kerana mewujudkan saluran yang terus dan telus untuk dimanfaatkan oleh warga Felda seluruh negara.
Diharapkan saluran ini akan digunakan sebaik mungkin bagi menyampaikan segala permasalahan dan aduan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk tindakan penyelesaian yang segera dan pantas.
Kewujudan Bapak adalah sangat penting bagi peneroka Felda dan generasi kedua, khususnya dalam menjalin hubungan yang lebih telus, tulus dan ikhlas dengan pihak kerajaan.
Vakum yang menjadi jurang komunikasi antara kedua-dua belah pihak selama ini telah diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu demi mencapai agenda tersendiri. Keadaan inilah yang memungkin tertubuhnya Anak (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan).
Sesuai dengan sifatnya, Anak hanya tahu memberontak, mempertikai, syak-wasangka, tidak tahu dan tidak mahu susah. Tabiat-tabiat sedemikianlah yang semenjak sekian lama dipertontonkan. Walaupun hanya segelintir sahaja yang menyertai Anak, namun suaranya kedengaran juga di seluruh pelosok Felda sehingga seberang Laut China Selatan.
Dalam laungan-laungan mereka, tidak ada yang baik tentang pengurusan Felda. Felda dituduh menipu dan menindas. Pihak pengurusan Felda yang turut membabitkan bukan anak Felda telah dituduh melakukan penyelewengan dan rasuah.
Walaupun cuba dijawab oleh Perdana Menteri dan Ahmad, dan kadang-kadang oleh Tan Sri Yusoff Noor atau Tan Sri Rozali Ismail, namun hentaman-hentaman itu mampu juga sedikit-banyak menerobos gegendang telinga anak-anak Felda. Ada yang benar, walaupun banyak yang temberang sahaja.
Pokoknya, Bapak kini harus berperanan menunjuk ajar Anak supaya lebih beradab, dan mengenang budi. Ada anak Felda yang dipersendakan 'seperti kerbau dicucuk hidung' kerana tidak 'bising' memprotes pengurusan Felda yang dikatakan menindas peneroka.
Di sebaliknya, ada pula yang disindir 'tak tahu mengenang budi'; daripada hidup merempat di kampung asal, tidak bertanah, tidak berharta, namun setelah mengecap kesenangan, 'melepas najis di pinggan'.
Bapak perlu mengajar Anak tentang sejarah Felda secara berhikmah, telus dan rasional. Justeru selama ini tiada saluran untuk 'bertanya itu dan ini', maka setelah segala beban permasalahan menggunung, akhirnya muntahan laharlah padahnya. Kesannya bukan sedikit; malah jika lambat Bapak memainkan peranan, beratus ribu undi peneroka akan beralih arah.
Anak harus diberitahu; jika ladang tidak diserahkan kembali kepada Felda, siapakah yang akan menanam semula dan meneruskan pengurusannya. Hasil kejayaan Felda dalam meningkat sosioekonomi peneroka telah menyebabkan aliran keluar generasi kedua yang menyumbang tenaga, kepakaran dan kemahiran di luar Felda.
Berapa kerat sangatlah yang balik menyumbang semula kepada Felda, itu pun bukan sebagai peneroka. Berapa banyak ladang yang sudah bertukar menjadi hutan simpan? Berapa banyak rumah yang menyembah bumi kerana tiada penghuni?
Bapak perlu beritahu Anak akan rasional segala macam bantuan yang diberikan kepada peneroka seperti bonus dan dividen hari raya, dermasiswa, sekolah berasrama penuh untuk generasi kedua, skim baiki rumah, khairat kematian, dan pelbagai subsidi demi menjaga kebajikan peneroka dan generasi pewaris.
Tak perlulah cerita tentang tanah ladang, tapak rumah dan rumah yang hampir 'percuma', tatkala melangkah kaki masuk Felda. Janganlah lagi kedengaran pihak luar menempelak bahawa generasi kedua 'tak sedar dek untung'! Anak perlu insaf dan malu!
Satu perkara yang harus diingati oleh Bapak ialah supaya dilihat bebas politik, dengan harapan Anak juga membuat refleksi supaya keluar daripada bayangan politik.
Dalam hal inilah GWGF mesti berperanan sebagai medium perantara; tidak mempunyai agenda politik dan tidak memihak kepada parti tetapi kepada kerajaan.
Kemudian, ajarlah Anak bahawa 'kerajaan' itu bermaksud pihak yang mengurus dan menjaga kebajikan rakyat, bukan yang menyusahkan dan memecah belahkan rakyat. Sebagai Anak, mereka perlu diberitahu kerana itu kewajipan Bapak.