Home / /

Ibu lapan anak dianugerahkan Ibu Mithali Felda 2010

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Istilah putus asa atau kecewa dengan kesusahan hidup tidak pernah wujud dalam diri Siti Fatimah Farawahidah Abdullah, 60, dalam menjalankan tanggungjawab sebagai isteri kepada seorang peneroka Felda dan ibu kepada lapan anak.

Atas dasar itu beliau dipilih sebagai Ibu Mithali Felda 2010 bagi mengiktiraf sumbangan wanita yang terlibat dengan pembangunan tanah rancangan milik agensi itu.

“Ketika mula-mula mengikuti suami yang merupakan peneroka awal Felda Chemomoi, Pahang pada 1972, keadaan masa itu amat-amat susah. Elektrik dan air semua tidak ada. Tetapi saya beranikan diri hadapi semua itu.

“Cabaran membesarkan anak-anak waktu itu juga sememangnya hebat. Namun saya tidak putus asa atau merasa kecewa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menerima Anugerah Ibu Mithali Felda 2010, di sini semalam.

Anugerah yang pertama kali diadakan itu disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan selepas beliau merasmikan Seminar Wanita Felda: Penerokawati Pencetus Transformasi.

Ibu Mithali Felda berketurunan Cina dan memeluk Islam ketika berusia 18 tahun itu menerima wang tunai berjumlah RM5,000 dan sijil penghargaan.

Pada majlis itu juga, Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Mata Air, Alor Setar di Kedah turut diiktiraf sebagai persatuan wanita Felda terbaik di seluruh negara dan menerima wang tunai berjumlah RM10,000 dan sijil penghargaan.

Gerakan Persatuan Wanita adalah tulang belakang kepada pembangunan rancangan Felda yang menjalankan pelbagai aktiviti seperti kemasyarakatan, pendidikan, keusahawanan dan kerohanian di kawasan-kawasan Felda seluruh negara.

Kesabaran Siti Fatimah Farawahidah membesarkan anak-anaknya dalam serba kekurangan ketika itu akhirnya membuahkan kejayaan apabila kesemua mereka kini berjaya dalam bidang masing-masing.

Enam daripada lapan anaknya merupakan lulusan universiti dan bekerja dalam bidang profesional manakala dua lagi masih menuntut di institut pengajian tinggi.

Mencerita lanjut pengalaman pahit manisnya sebagai warga Felda, Siti Fatimah Farawahidah berkata, beliau yang berkahwin pada usia 20 tahun perlu membiasakan diri hidup jauh di pedalaman walaupun berasal dari bandar.

Walaupun tanah rancangan yang dihuninya terletak jauh di pedalaman, Siti Fatimah Farawahidah tidak pernah serik dengan segala kesusahan yang dilalui ketika itu termasuk ketika hendak keluar ke pekan berdekatan iaitu Triang yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Felda Chemomoi.

Katanya, dia juga tidak pernah serik apabila terpaksa berhadapan dengan binatang liar seperti gajah dan ular sawa ketika mengikuti suaminya masuk ke kawasan ladang terokaan ketika itu.

Bagi membantu suaminya mencari pendapatan lebih untuk keluarga, Siti Fatimah Farawahidah ketika itu membuat kerja sampingan seperti menjahit dan berniaga kecil-kecilan.

Tugas Siti Fatimah Farawahidah tidak terhad sebagai isteri dan ibu kerana dia juga merupakan pemimpin GPW Felda Chemomoi dan lebih membanggakan lagi dia juga merupakan seorang usahawan berjaya.

Beliau kini amat aktif menyertai aktiviti kemasyarakatan di Felda Chemomoi dan menyifatkan Felda sebagai sebuah agensi yang sangat berjaya di mata dunia.

“Felda kini sudah banyak berjaya. Ia juga berjaya mempertingkat keupayaan wanita melalui pelbagai usaha yang dilakukan. Sebagai warga Felda saya amat bangga,” katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 8:28 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]