Home / /

Bapak saluran aduan warga Felda

SHAH ALAM 21 Nov. - Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) yang baru ditubuhkan merupakan alternatif bagi menyalurkan aduan dan pendapat untuk 1.5 juta warga Felda jika terdapat sebarang masalah atau isu membabitkan peneroka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, penubuhan Bapak yang merupakan biro di bawah Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) sangat dialu-alukan kerana lebih banyak saluran untuk membantu warga peneroka diwujudkan, maka lebih cepat sebarang isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan.

"Bapak dapat membantu masalah peneroka seperti urusan untuk kemasukan anak-anak ke sekolah asrama penuh dan sebagainya yang di luar bidang kuasa Felda.

''Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merestui penubuhannya dan berharap ia dapat memberi faedah kepada semua warga Felda terutamanya dalam menyelesaikan isu berbangkit mereka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bapak di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail dan Pengurus Besar Felda, Datuk Dzulkifli Wahab.

Ahmad berkata, Bapak dianggotai oleh 317 sukarelawan yang bersedia menerima aduan dan cadangan yang dikemukakan warga Felda tentang sesuatu isu dan berusaha menyelesaikan dalam tempoh paling minimum antara seminggu dan dua minggu hari bekerja.

''Menerusi biro itu, seorang sukarelawan dilantik di setiap 317 tanah rancangan di seluruh negara bagi membantu menyelesaikan masalah warga peneroka dalam tempoh 24 jam, tujuh hari atau 14 hari bergantung pada tahap masalah berkenaan,'' ujarnya.

Malah katanya, sebanyak enam saluran juga disediakan untuk tujuan tersebut iaitu menerusi telefon, e-mel, surat, khidmat pesanan ringkas (SMS), portal atau talian bebas 1-800-88-4943 bagi memudahkan masalah diadukan.

Katanya, Bapak merupakan idea Rozali yang turut berbesar hati menaja segala perbelanjaan yang diperlukan oleh biro berkenaan.

Beliau berkata, walaupun Felda mempunyai saluran aduannya sendiri, penubuhan biro itu sangat relevan dalam menangani masalah lain yang dihadapi oleh warga peneroka seperti isu kebajikan dan pendidikan.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 8:23 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]