Tindakan Nik Aziz bukti Pas semakin terdesak

Tindakan Nik Aziz bukti Pas semakin terdesak

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan wang kepada Orang Asli menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menunjukkan parti tersebut terdesak untuk memenangi hati rakyat di situ.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan Menteri Besar Kelantan itu adalah kesalahan besar kerana ia merupakan perbuatan memberi rasuah kepada golongan tersebut supaya mengundi calon parti itu pada pilihan raya.

Katanya, Pas sangat terdesak untuk memenangi pilihan raya kecil itu sehingga sanggup melakukan apa sahaja.

"Jadi, saya berharap siasatan berhubung perkara ini dapat dijalankan dengan segera kerana sudah terang perbuatan Nik Abdul Aziz itu salah di sisi undang-undang.

"Rakyat sepatutnya sudah boleh menilai sendiri daripada tindakan tersebut kerana sebelum ini Pas yang sibuk mencanang bahawa Barisan Nasional (BN) sering menggunakan politik wang tetapi sebenarnya merekalah yang mengamalkannya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Nik Abdul Aziz menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Orang Asli selepas mengislamkan mereka pada Majlis Mesra Rakyat di Pos Sandrop, Lojing, Gua Musang, kelmarin.

Menurut Khairy, tindakan Nik Abdul Aziz itu juga menunjukkan bahawa Pas telah tersasar daripada matlamat sebenar perjuangan mereka.

"Kita lihat hari ini perjuangan Pas tidak lagi berlandaskan prinsip Islam sehingga sanggup menghalalkan perbuatan yang secara terang adalah haram di sisi agama.

"Semua ini berlaku kerana mereka sangat dahagakan kuasa,'' jelasnya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat perbuatan Nik Abdul Aziz itu kerana khuatir ia akan memberi kesan kepada rakyat Kelantan.

Katanya, tindakan itu telah membuka mata banyak pihak tentang perjuangan sebenar Pas yang sebelum ini sering menuduh BN menabur wang untuk memenangi hati rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula berpendapat sudah tiba masanya untuk Pas lebih bertanggungjawab semasa mengeluarkan kenyataannya.

Katanya, Pas pandai memutarbelitkan isu sehingga apa yang dilakukan oleh BN diharamkan tetapi perbuatan haram yang dilakukan oleh parti itu dihalalkan.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 7:56 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Tindakan Nik Aziz bukti Pas semakin terdesak

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]