Bahan kempen mesej kepada pengundi

Bahan kempen mesej kepada pengundi

Penduduk perlu bijak buat perbandingan mana satu parti mampu bawa pembangunan

SEKIRANYA anda melewati pintu masuk ke Gua Musang, jalan utama atau taman perumahan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, mata anda pasti akan tertumpu kepada 'poster gergasi', papan iklan dan sepanduk kempen yang tersergam dengan mesej parti bertanding. Barangkali ‘memacak’ bahan kempen seumpama itu dilihat sebagai strategi terbaik ‘mengumpan’ perhatian pengundi DUN Galas membuat penilaian apa dijanjikan parti bertanding sebelum ini, sama ada mengotakan janji atau sekadar menabur janji manis pilihan raya.
Bukan janji, tetapi bukti. Barisan Nasional (BN) tampil dengan mesej membuktikan janji diberikan bukan semata-mata kerana pilihan raya, tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk membangun dan memberi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Bahan kempen BN itu bukan saja memaparkan gambar projek yang siap, tetapi projek akan dan dilaksanakan selaras dengan janji diberikan kepada rakyat.
Pendekatan itu boleh dianggap sebagai usaha meraih sokongan penduduk Galas, sekali gus mengintai peluang kemenangan pada pilihan raya kecil Khamis ini.

Berbeza dengan BN, PAS yang sinonim dengan slogan ’Membangun Bersama Islam’ itu dilihat lebih cenderung untuk berbangga dengan rekod mentadbir negeri Cik Siti Wan Kembang selama 20 tahun menerusi beberapa poster gergasi dan papan iklan kempennya.
Antara mesej yang tertera di bahan kempennya lebih kepada mengajak pengundi DUN Galas mempertahankan kerusi kawasan itu supaya kekal milik PAS.

Melihat kepada senario itu, penduduk di DUN Galas tentu tertanya-tanya apakah pembangunan yang sudah dilaksanakan PAS selama ini 20 tahun itu, persoalan juga akan timbul, adakah parti itu semata-mata berbangga dengan kejayaan menguasai kerajaan negeri dalam tempoh dianggap amat lama?

Diakui, adalah mustahil bagi kedua-dua parti itu mempunyai pemikiran yang sama dalam menggerakkan jentera masing-masing, namun menerusi pemasangan 'poster gergasi', papan iklan dan sepanduk kempen memaparkan projek Kerajaan Pusat, ia boleh memberikan gambaran bahawa BN harus dipuji kerana sudah mengotakan janjinya.

Meskipun, bahan kempen seumpama itu bukan penentu utama kepada kejayaan mana-mana parti untuk memenangi kerusi DUN berkenaan, ia sedikit sebanyak mendorong rakyat membuat perbandingan antara kedua-dua parti. Walau apa pun, pujian haruslah diberikan kepada kedua-dua parti kerana tidak menyerang peribadi pemimpin tertinggi parti dan juga calon bertanding dalam ‘perang poster’ masing-masing.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata Kerajaan Pusat bukan mahu beretorik politik, tetapi lebih kepada usaha membuktikan kepada rakyat mengenai pembangunan dilaksanakan selama ini.

Ahmad berkata, kerajaan BN sudah menyiapkan 13 daripada 14 projek mega dengan nilai keseluruhan lebih RM393 juta di sekitar kawasan DUN Galas sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).

Katanya, projek dalam RMKe-9 di DUN Galas membabitkan Hospital Gua Musang (RM60 juta); Pusat Kesihatan Bandar Gua Musang (RM12 juta); Ibu Pejabat Polis Gua Musang (RM31 juta); Jalan Besar (Persiaran Raya) (RM18 juta); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Wangi (RM20 juta); dan Sekolah Kebangsaan Sri Wangi (RM17 juta).

Projek lain, Kompleks Sukan (RM2 juta); Stesen Keretapi (RM4 juta); Perpustakaan Awam (RM1 juta); SK Gua Musang 1 (Tambahan) (RM2 juta); dua Gelanggang Futsal (RM200,000); Sekolah Menengah Integrasi yang tendernya sedang dibuka (RM40 juta); Pusat Latihan KESEDAR (RM6.2 juta),; Projek Perumahan Rakyat (1,500 unit baru dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (RM180 juta).

"Sebanyak 13 projek pembangunan sudah siap dan ia dilaksanakan oleh kerajaan BN kerana peka terhadap keperluan serta keselesaan hidup rakyat, bukan semata-mata kerana pilihan raya.

"PPR bernilai RM180 juta yang baru dilancarkan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini juga adalah untuk memenuhi keperluan perumahan demi keselesaan keluarga penduduk sekitar Gua Musang," katanya.

Justeru, melalui papan iklan, sepanduk dan poster yang dipasang, 11,553 pengundi di DUN Galas sudah pasti mudah membuat keputusan calon manakah perlu disokong bagi membolehkan usaha membangunkan kawasan terus dilaksanakan.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 7:54 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Bahan kempen mesej kepada pengundi

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]