Undi BN nikmati agenda pembangunan

GUA MUSANG 27 Okt. - Pengundi di Galas diingatkan supaya memilih wakil rakyat yang mampu membawa pembangunan sekali gus memastikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu tidak terasing daripada segala perancangan Kerajaan Pusat. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Pusat telah pun mengatur jalan atau laluan yang akan dilaksanakan untuk mencapai agenda mengangkat martabat bangsa serta negara ke tahap lebih tinggi iaitu menjadikan Malaysia negara maju pada 2020. "Maka orang di Batu Papan dan Galas sudah tentunya tidak mahu terasing, bersama-sama dalam arus perdana pembangunan itu dan ia hanya boleh berlaku kalau wakil rakyat yang dipilih di sini ialah wakil BN," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Kampung Batu Papan di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan calon BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Abdul Aziz Yusoff. Muhyiddin berkata, Kerajaan Pusat telah mengambil pelbagai langkah bagi memajukan ekonomi negara seperti pelaksanaan Model Baru Ekonomi untuk memastikan keseimbangan pembangunan dengan tumpuan turut diberikan kepada kawasan luar bandar, termasuk di Galas. Justeru, katanya, kerajaan ingin penduduk Galas sama-sama merasai agenda pembangunan yang dirancang kerana masih ramai di kalangan mereka berpendapatan rendah. Lazimnya, kata Muhyiddin, semasa pilihan raya kecil seperti di Galas, tentulah masyarakat ingin melihat apakah pembangunan yang diperlukan mereka dapat dilaksanakan dengan lebih lagi berbanding yang ada ketika ini. "Kalaulah begitu halnya, tentulah kita harus membuat penilaian yang bijaksana supaya kita mempunyai seorang wakil yang berupaya memikul tanggungjawab besar untuk Galas atau Gua Musang ini terus dapat diberikan perhatian," katanya. Timbalan Perdana Menteri berkata, soal pembangunan yang memberikan kesejahteraan kepada rakyat tidak menjadi tumpuan utama oleh Pas yang mentadbir kerajaan negeri, sedangkan rakyat Kelantan masih memerlukannya. Keperluan rakyat terhadap pembangunan tersebut, katanya, dapat dilihat semasa beliau menyertai kempen Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai tahun lalu apabila menerima surat daripada imam yang meminta bantuan membaiki masjid kerana merasakan beliau lebih berkemampuan menunaikannya berbanding Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Namun katanya, apa yang dikesalkan pemimpin-pemimpin Pas sering mempersoalkan pembangunan yang hendak dibawa oleh kerajaan BN dengan alasan lebih mengutamakan 'untuk sampai ke syurga' sehingga ramai rakyat hidup susah. Beliau berkata, dalam soal untuk memenuhi tuntutan duniawi, rakyat tentu perlu kepada seorang pemimpin yang boleh memikul tanggungjawab berat bagi membangunkan umat supaya mereka boleh hidup dengan lebih selesa. "Jawapannya tak susah. Jawapannya BN, walaupun kita sedar agenda pembangunan kita belum selesai. Tetapi kalau hendak mengisi segala keperluan rakyat jelata, rakyat perlu memilih wakil yang lebih berupaya untuk membantu mereka," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 7:34 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Undi BN nikmati agenda pembangunan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]