Sivanandan disaran sokong Barisan Nasional

JOHOR BAHRU 10 Jan. – Pemimpin Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW), G. Sivanandan disaran melupakan hasratnya menjadi calon Bebas pada pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, sebaliknya menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini kerana hala tuju perjuangan Sivanandan, 50, hanyalah untuk membela nasib segelintir pekerja ladang di DUN Tenang berbanding Barisan Nasional (BN) yang memperjuangkan nasib semua golongan di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, beberapa isu pekerja ladang yang diketengahkan Sivanandan seperti taraf hidup dan gaji rendah telah diambil tindakan selanjutnya oleh kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia.

“Penduduk di DUN Tenang sudah pastinya mahukan kepimpinan yang membantu mereka menyelesaikan pelbagai isu yang menyeluruh dan bukannya terhadap isu tertentu sahaja.

“Justeru, saya sarankan Sivanandan agar lupakan sahaja hasrat bertanding, sebaliknya bersama-sama menyokong kepimpinan kerajaan,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan hasrat Sivanandan bertanding pada pilihan raya kecil itu bagi mewakili suara hampir 800 pengundi berdaftar dalam kalangan pekerja ladang di DUN Tenang.

Beliau yang tinggal di pekan Chaah dan bergiat aktif dalam NUPW kawasan tempatan selama 20 tahun mendakwa mendapat sokongan kuat daripada keseluruhan pekerja ladang di DUN Tenang.

Sivanandan berkata, sokongan kuat yang diterimanya daripada pekerja ladang di DUN Tenang itu disebabkan oleh kekecewaan terhadap taraf hidup dan gaji rendah yang diterima oleh pekerja terbabit daripada majikan mereka.

Ahmad menegaskan, BN yakin dapat mengekalkan kerusi DUN Tenang pada berdasarkan rekod perkhidmatan yang baik di DUN itu selama ini selain sokongan padu daripada rakyat berbilang kaum di kawasan berkenaan.

Mengulas isu Felda, beliau berkata, pihaknya akan lebih kerap turun sehingga ke peringkat akar umbi berjumpa dengan peneroka dan anak- anak peneroka untuk menjelaskan beberapa isu berbangkit termasuk isu Felda Plantation Sdn. Bhd.

Ini kerana, katanya, masih ramai peneroka dan anak-anak mereka yang belum mendapat gambaran jelas mengenai isu berkenaan menyebabkan mereka mudah terpengaruh kata-kata pihak pembangkang yang sengaja memutarbelitkan isu itu.

Ahmad berkata, janji parti pembangkang untuk membahagikan tanah Felda Plantation di seluruh negara kepada anak peneroka hanya janji kosong yang digembar-gemburkan oleh parti berkenaan semata-mata untuk meraih sokongan.

“Pembangkang tahu ia tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana keuntungan daripada syarikat itu sebenarnya diberikan semula kepada peneroka Felda melalui komisen, kemudahan, program pembangunan dan banyak lagi,” katanya.

Ahmad berkata, ladang tersebut sebenarnya telah 51 peratus dimiliki oleh peneroka melalui Koperasi Permodalan Felda yang memberi pulangan kedua terbaik di negara iaitu sebanyak 14 peratus.

Selain itu, janji pembangkang juga tidak praktikal kerana segala usaha tanah seluas 330,000 hektar itu digunakan untuk membayar gaji kakitangan Felda dan 40,000 pekerja ladang selain RM1 bilion daripadanya digunakan bagi tujuan program pembangunan Felda.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:56 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Sivanandan disaran sokong Barisan Nasional

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]