Felda: Dari getah ke tauke gula

Di Kerdau pada pilihan raya kecil 6 Mac nanti menunjukkan pengundi wanita kawasan itu mengatasi golongan lelaki.
Daftar pemilih suku ketiga 2010 yang dikemas kini sehingga 12 Februari lalu yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya memaparkan pengundi wanita berjumlah 4,628 orang (51.43 peratus) melebihi lelaki berjumlah 4,371 (48.57 peratus).
Daripada keseluruhan 8,999 pengundi dengan 7,988 orang adalah orang Melayu (88.77 peratus) itu, sejumlah 3,011 merupakan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Jengka 22, 23 dan 25.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (gambar) yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda memasukkan Jengka 24 untuk menerima bantuan kemudahan dewan dan gelanggang futsal terbuka. Meskipun bukan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di kawasan Parlimen Kuala Krau, namun, Jengka 24 turut menerima manfaat kemudahan serupa seperti dinikmati oleh Felda Jengka 23. Turut diluluskan kemudahan dewan dan gelanggang futsal masing-masing berharga RM800,000 dan RM100,000 adalah Jengka 22 dan 25.
"Dari peringkat bawah hingga visi masa depan, peneroka dan keluarga Felda tidak pernah diketepikan.
"Malah di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Felda yang sebelum ini berasaskan getah dan kelapa sawit kini menuju ke era masa depan dengan menumpukan kepada tiga perkara baru.
"Iaitu Felda bermatlamat memainkan fungsi sebagai gedung makanan negara dengan menjadi pengeluar lembu daging, ikan air tawar serta sayur-sayuran dan buah- buahan negara," kata beliau kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, kata beliau, Felda kini merupakan pengeluar utama gula negara dengan menguasai 70 peratus kepentingan dalam Malayan Sugar Manufacturing Co. yang dimiliki jutawan Tan Sri Robert Kuok.
Selama setengah abad Felda memainkan peranan penting untuk masyarakat Melayu dalam bidang ekonomi dan sosial dengan di bawah pentadbiran Najib, Felda meneroka bidang bioteknologi tinggi.
"Kita memiliki pusat bioteknologi terbesar di Nilai dengan mengeluarkan klon-klon kelapa sawit baru yang bagus.
"Felda turut mengeluarkan elektrik daripada biomas iaitu bahan-bahan buangan sawit. Penjanaan elektrik turut dijalankan di Felda Sahabat, Lahad Datu (6 megawatt) yang akan kita laksanakan juga di Jengka 9 (12 megawatt).
"Tidak lama lagi, kita akan menaiktaraf penjanaan elektrik di Felda Sahabat kepada 35 megawatt, ini satu penjanaan teknologi baru di Felda," kata Ahmad.
Ahmad mengakui usaha Felda untuk pembangunan peneroka adakalanya menghadapi halangan yang bukan sedikit daripada pihak tertentu.
Meskipun dimomokkan kononnya Felda akan bankrap sebelum ini, beliau menjelaskan ia tidak akan berlaku walaupun 'semua pokok kelapa sawit di atas tanah seluas 330,000 hektar milik Felda diracun pihak pembangkang'.
Felda yang kini mempunyai nilai aset bersih berjumlah RM12.2 bilion mampu membayar cukai serta zakat melebihi RM1 bilion dan tidak begitu mudah akan diisytiharkan bankrap.
Malah Felda juga merupakan satu-satunya organisasi di negara ini menjamin pendapatan minimum sebanyak RM1,000 kepada peneroka di bawahnya dan tiada agensi lain yang berbuat demikian untuk kumpulan individu di bawah mereka.
Di Kerdau misalnya, Ahmad percaya akan ada dakyah dan fitnah bertebaran menyentuh isu Felda khususnya selepas hari penamaan calon DUN itu Sabtu ini.
"Apa pun, kita akan pastikan semua dakyah itu terbongkar kebenarannya.
"Ini penting bagi memastikan pemikiran pengundi di DUN Kerdau tidak dikaburi dengan janji ilusi pembangkang melalui ceramah atau saluran lain," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:51 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Felda: Dari getah ke tauke gula

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]