Petugas BN, pengundi diingatkan taktik saat akhir Pas
11:55 PM
LABIS 27 Jan. – Petugas pilihan raya Barisan Nasional (BN) dan pengundi diingatkan agar berwaspada dengan taktik Pas menjelang dua hari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada Ahad nanti.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, parti pembangkang tersebut akan menggunakan pelbagai cara pada saat-saat akhir demi memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
"Terdapat banyak kemungkinan apa yang akan mereka lakukan kerana terdesak seperti menabur risalah-risalah bagi mengelirukan pengundi.
"Oleh demikian, kita mahu para petugas agar bekerja sehingga ke saat akhir agar kubu masing-masing tidak ditembusi oleh anasir-anasir sedemikian,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Skuad Sayang anjuran Wanita UMNO di Felda Chemplak Barat di sini hari ini. – Bernama