Jangan perjudi masa depan
11:56 PM
LABIS 27 Jan. - Rakyat di Tenang diminta jangan memperjudikan nasib mereka dengan memberi undi kepada pembangkang kerana Pas sudah jauh terpesong daripada perjuangan asal selain tidak berupaya membawa pembaharuan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sebaliknya mahu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, mengikut jejak langkah pengundi di Batu Sapi yang memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN).
"Rakyat di Batu Sapi yang memberi sokongan besar kepada BN kini sedang menikmati pembangunan dan pembaharuan. Segala janji kita pada pilihan raya lalu sedang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan ini bukti kita sebuah parti yang berpegang kepada janji.
"Jangan tersalah pilih kerana rakyat sendiri yang akan menanggung kerugian nanti apabila kesinambungan pembangunan di Tenang ini tidak dapat diteruskan," katanya kepada pemberita selepas berceramah di Kampung Air Panas, di sini malam tadi.
Hadir sama Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Menurutnya adalah amat penting rakyat membuat pilihan yang tepat kerana sudah terbukti, 'perjudian' di Selangor, Pulau Pinang dan Perak tidak membawa sebarang kebaikan sebaliknya, nasib pengundi sendiri terabai.
Mengenai 'fatwa' Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, kononnya mengundi Pas dapat pahala, beliau berkata, pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperalatkan agama demi kepentingan politik.
Katanya, kenyataan Guan Eng itu juga membuktikan Pas kini sangat terdesak selain kekeringan modal sehingga terpaksa memperalatkan orang bukan muslim untuk bercakap seperti seorang 'ulama'.
"Itu cara parti pembangkang kerana mereka ini tiada modal lagi, ideologi antara Pas dan DAP berbeza jauh tetapi demi kepentingan politik, Pas sanggup membiarkan Guan Eng bercakap seolah-olah dia pakar agama yang tahu dosa pahala," katanya.
Guan Eng malam kelmarin ketika mengakhiri ceramahnya di Felda Chemplak melalui serangkap pantun dengan mendakwa orang ramai yang mengundi Pas akan memperoleh pahala.
Pantun tersebut berbunyi 'calon PR cikgu Mala, adil ditegak rakyat dibela, pakatan rakyat harapan menyala, undi Pas dapat pahala'.