'Tindakan orang nak kalah'
11:54 PM
LABIS 26 Jan. - Tindakan parti pembangkang yang memperalatkan golongan mahasiswa berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang menunjukkan parti itu semakin terdesak kerana menuju 'kekalahan'.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang ditemui di sini, hari ini ketika diminta mengulas tindakan pembangkang menggunakan golongan mahasiswa untuk berkempen dari rumah ke rumah berkata:
"Tindakan guna golongan mahasiswa ini bukan sahaja tidak beretika, tetapi juga tindakan orang yang nak kalah."
Menurutnya, lebih tidak beretika apabila kumpulan mahasiswa itu menyamar sebagai Pemuda dan Puteri UMNO supaya dibenarkan masuk ke rumah penduduk.
"Saya berharap pengundi di DUN Tenang tidak terpedaya dengan tindakan kumpulan mahasiswa tersebut yang datang memburuk-burukkan kerajaan BN (Barisan Nasional)," katanya.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Samsol Bari Jamali mendedahkan taktik kotor parti pembangkang yang memperalatkan golongan mahasiswa menyamar dengan berpakaian seperti ahli Pemuda dan Puteri supaya dibenarkan masuk ke rumah.
Apabila dibenarkan masuk, mereka kemudian cuba meracuni pemikiran pengundi dengan memburuk-burukkan kerajaan BN.
Samsol Bari memberitahu, setakat ini pihak menerima tiga aduan daripada masyarakat yang tidak senang dengan tindakan tersebut.
Antara kawasan yang dikesan pernah dikunjungi kumpulan mahasiswa tersebut di Air Panas, Kampung Tenang, Felda Tenang, Felda Chemplak dan Chemplak Barat.