Wanita UMNO pertikai alasan calon Pas pertahan suami
11:57 PM
LABIS 28 Jan. - Alasan calon Pas, Normala Sudirman, 38, bahawa punca suaminya, Maarof Abd. Mutalib, 45, mengambil cuti sakit kerana mengalami kemurungan selepas ditukarkan ke Johor Bahru adalah tidak benar dan boleh dipertikaikan.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata, ini kerana Maarof telah pun mengambil cuti sejak 6 Januari lagi iaitu kira-kira dua minggu sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 22 Januari lalu.
"Alasan ini tidak boleh diterima sama sekali. Cuti Maarof sememangnya sudah dirancang sebelum hari penamaan calon lagi kerana dia mula bercuti sakit pada 6 dan 7 Januari lalu sebelum menyambung cuti di klinik lain pada 10-23 dan 24-28 Januari.
"Jika Normala kata suaminya bercuti kerana penyakit murung, kenapa pula selepas hari penamaan calon dan bukan sebelum itu," katanya pada sidang akhbar di Rumah Wanita UMNO di sini hari ini.
Isu cuti Maarof didedahkan sebuah blog, http://marahku.blogspot.com/ yang mempersoalkan tindakan Maarof yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Station di sini mengambil cuti sakit selama 21 hari tetapi pada masa yang sama dilihat membantu Normala sepanjang tempoh berkempen.
Hamidah berkata, jika Maarof benar-benar sakit, Normala perlu menemani dan menjaga suaminya daripada terus menjadi calon pada PRK DUN Tenang kerana sebagai isteri, beliau perlu mengutamakan suaminya melebihi kepentingan rakyat seperti yang disuruh dalam Islam.
"Jika tidak, Normala boleh dikira derhaka dan ini adalah satu lagi perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam," katanya sambil menyarankan Maarof mendapatkan rawatan segera jika benar beliau tidak sihat.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, Normala yang mahu menjadi seorang pemimpin sepatutnya sedar dan tahu untuk menasihati suaminya daripada berbohong untuk mengambil cuti sakit.
"Saya kesal terhadap perkara yang berlaku ini kerana Normala menunjukkan contoh yang tidak baik dan dia sanggup membiarkan suaminya menggunakan cuti sakit semata-mata untuk menemaninya berkempen," katanya.
Justeru, beliau meminta pihak terbabit untuk menyiasat perkara itu secara terperinci kerana tidak sewajarnya cuti sakit itu dikeluarkan oleh klinik berkenaan memandangkan Maarof dapatkeluar rumah untuk membantu kempen pilihan raya.