Rakyat Sarawak Takkan Lupa Pembangkang Hina Mereka Pakai Cawat
7:34 PM
SIBU, 13 April - Di sebalik keghairahan pemimpin pakatan pembangkang mengajak rakyat Sarawak untuk membuat perubahan pada pilihanraya negeri itu kali ini kononnya demi maruah dan kepentingan diri, pemimpin pembangkang ini seolah-olah terlupa bahawa sebelum ini merekalah yang telah menghina rakyat Sarawak.
Pemimpin pakatan pembangkang mungkin terlupa atau buat-buat lupa bahawa mereka pernah menghamburkan kenyataan betapa rakyat Sarawak tidak pandai mengundi kerana mereka masih lagi pakai cawat.
Kali ini mereka datang lagi menagih undi dengan pelbagai janji kosong dengan harapan mampu memperdayakan rakyat Sarawak terutama pengundi untuk memberikan undi kepada mereka.
Mengulas perkara tersebut Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata apa yang dihamburkan pemimpin pembangkang ternyata satu penghinaan yang jelas hanya kerana rakyat Sarawak tidak menyokong mereka selama ini.
“Tapi sekarang jelas mereka (pakatan pembangkang) datang ke Sarawak untuk menagih undi dengan membawa sejuta janji kononnya untuk membawa perubahan. Ketika mereka kalah mereka marah kepada rakyat hingga hina rakyat Sarawak tak pandai mengundi kerana pakai cawat…. Apakah pemimpin jenis ini boleh dipercayai?
“Kita percaya rakyat Sarawak tidak akan mudah lupa penghinaan tersebut dan tidak akan terpedaya dengan harapan palsu yang diberikan. Rakyat Sarawak pasti akan menghukum mereka kali ini”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata penghinaan pakatan pembangkang itu juga adalah bukti wajah sebenar mereka yang sentiasa berpura-pura kononnya berjuang untuk rakyat.
“Mereka hanya pandai guna slogan untuk dapat undi rakyat… sesudah dapat kuasa, rakyat dilupakan malah jika rakyat tidak berikan mereka undi maka mereka akan hina rakyat seperti yang mereka lakukan di Sarawak.
“Inilah wajah sebenar politik pembankang yang hanya berjuang untuk rakyat sekadar pada laungan kosong semata-mata sedangkan yang benar-benar membela rakyat adalah kerajaan Barisan Nasional.
“Lihat saja apa yang berlaku di negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka yang sentiasa dibantu kerajaan persekutuan terutama dalam memastikan rakyat mendapat pembelaan yang sewajarnya”, ujar beliau.
Justeru beliau percaya rakyat terutama pengundi di Sarawak akan mengundi hak dan kuasa yang ada pada mereka pada 16 April ini untuk sekali lagi mengajar pembangkang. -MediaUMNO