Kaji semula kuota kerusi


Kaji semula kuota kerusi

KULAIJAYA 15 Mei – Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji semula sistem kuota pembahagian kerusi di sesuatu kawasan pilihan raya jika pendekatan tersebut tidak mampu membawa kemenangan kepada parti itu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, secara umumnya bakal calon perlu dipilih daripada kaum majoriti di sesuatu tempat selain bagi memastikan BN peka dengan kehendak pengundi.

“Bagaimanapun, jika wakil daripada kaum majoriti itu tidak ada yang layak, maka wakil daripada kaum lain walaupun daripada kaum minoriti perlu diambil kira.

“Cara ini pernah dilakukan dan kita berjaya, contohnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor. Kita letakkan, P. Kamalanathan daripada kaum minoriti di situ, tetapi beliau menang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Kulai di Kampung Bahagia, Felda Taib Andak di sini hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, kekalahan BN dalam beberapa PRK akibat kesalahan memilih calon perlu dijadikan pengajaran.

Beliau berkata, strategi itu wajar dipertimbangkan kerana landskap politik pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti menuntut pendekatan berbeza bagi memastikan kemenangan calon-calon BN.

Sementara itu, beliau berpendapat, UMNO mampu menang besar dalam pilihan raya umum akan datang jika orang Melayu bersatu.

Menurutnya, orang Melayu khususnya di Felda dan kampung-kampung masih merupakan penyokong kuat kerajaan dan keadaan tersebut perlu dipertahankan.

Beliau berkata, UMNO atau BN tidak perlu lagi terlalu mengharapkan sokongan pengundi Cina kerana sentimen kecinaan yang dibawa DAP kini semakin menebal.

“Meski pun begitu, saya masih menaruh harapan supaya pengundi Cina balik semula kepada BN kerana kerajaan sebenarnya telah banyak membantu mereka,” katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:44 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Kaji semula kuota kerusi

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]