280 anak peneroka dilantik penolong pendaftar pemilih
5:11 PM
TANJUNG MALIM 17 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini melantik 280 sukarelawan terdiri daripada anak-anak peneroka Felda sebagai penolong pendaftar pemilih, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata, sukarelawan itu adalah anggota Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang kesemuanya terdiri daripada anak-anak peneroka dari seluruh negara.
Katanya, semua 280 sukarelawan yang dilantik itu bertanggungjawab untuk mendaftarkan mereka yang layak mengundi di semua kawasan tanah rancangan Felda di Semenanjung dan Sabah.
"Saya menyeru semua terutama generasi baru Felda yang belum menjadi pengundi supaya segera mendaftar sebagai pengundi melalui sukarelawan GWGF yang sudah dikenali di kawasan masing-masing,” katanya selepas menyerahkan watikah lantikan pada majlis perjumpaan khas GWGF di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Feldajaya Trolak, Sungkai, di sini hari ini.
Ahmad berkata, pelantikan itu adalah yang julung kali membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mendaftarkan pemilih di tanah rancangan Felda. – Bernama