280 sukarelawan GWGF dilantik penolong pendaftar pemilih
5:12 PM
TANJUNG MALIM 17 Jun – Seramai 280 sukarelawan daripada Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang semuanya terdiri daripada anak-anak peneroka dari seluruh negara, hari ini dilantik sebagai penolong pendaftar pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menyerahkan watikah lantikan kepada mereka pada majlis Perjumpaan Khas GWGF Bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Feldajaya Trolak, Sungkai dekat sini hari ini.
Ahmad Maslan ketika ditemui selepas majlis itu, berkata, ia merupakan pertama kali dalam sejarah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu mendaftarkan pemilih di tanah rancangan Felda.
Beliau berkata, semua 280 sukarelawan yang dilantik itu bertanggungjawab untuk mendaftarkan mereka yang layak mengundi di semua kawasan tanah rancangan Felda di Semenanjung dan Sabah.
``Saya menyeru semua pihak terutama generasi baru Felda yang belum menjadi pengundi supaya segera mendaftar sebagai pengundi melalui sukarelawan GWGF yang sudah dikenali di kawasan masing-masing.
``Jangan tunggu, kerana kita tidak tahu bila Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan. Jika lambat daftar, PRU-14 nanti baru boleh mengundi kerana proses daftar pemilih mengambil masa selama tiga hingga empat bulan baru selesai,'' katanya kepada pemberita.
Menurut Ahmad, pelantikan sukarelawan GWGF sebagai penolong pendaftar tidak seharusnya dijadikan isu oleh pihak tertentu kerana ia bukan bermotifkan politik.
``Sukarelawan GWGF bukan hendak paksa warga Felda mengundi sesiapa tetapi menolong mereka menunaikan hak sebagai rakyat untuk mengundi dalam pilihan raya umum,'' ujarnya sambil memberitahu dianggarkan terdapat kira-kira dua juta warga Felda termasuk keluarga peneroka dan pekerja Felda di seluruh negara.
Perjumpaan Khas GWGF Bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, menghimpunkan seramai 285 sukarelawan GWGF serta pengurus 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara.
Antara objektif utama program tersebut adalah memberikan latihan berkaitan hala tuju GWGF dan Felda serta memberikan maklumat tepat tentang pilihan raya umum dan maklumat berkaitan kerjaya dan modal insan khusus untuk warga Felda.
Selain Felda dan GWGF, SPR dan Kementerian Sumber Manusia turut terlibat dalam program tersebut.
Turut hadir, Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab dan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda, Tan Sri Rozali Ismail.