Penyenaraian MSM tidak wajar dipolitikkan

KUALA LUMPUR 2 Jun - Penyenaraian MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) ke pasaran utama Bursa Malaysia tidak wajar dipolitikkan parti pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau memberitahu, pelaksanaan penyenaraian syarikat milik Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (Felda Global) itu sebenarnya memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Malah, katanya, penyenaraian syarikat yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran gula tersebut juga telah mematuhi garis panduan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.

"Sebahagian besar penyenaraian itu memberi faedah kepada Bumiputera termasuk kepada golongan peneroka Felda sendiri iaitu melalui pegangan saham sebanyak 20 peratus dalam MSM melalui Koperasi Permodalan Felda.

"Ia merupakan satu pelaksanaan yang baik yang turut memberi faedah kepada pelabur tempatan dan asing.

"Malah, langkah penyenaraian MSM turut memberi peluang yang besar kepada Felda Global dan Kumpulan Felda secara keseluruhannya untuk meneroka bidang baru selain bidang teras perniagaannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan prospektus MSM Holdings Bhd. di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Group, Datuk Sabri Ahmad dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Mohd. Isa Sabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pelaburan dan Korporat CIMB Group Bhd., Datuk Charon Wardini Mokhzani dan Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Chua Say Sin.

MSM akan disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia pada 28 Jun depan dan akan menutup tawaran runcitnya pada 13 Jun ini.

Melalui tawaran awam permulaan (IPO), MSM akan menerbitkan 234.564 juta saham biasa bernilai RM0.50 sesaham dan ia dijangka mengumpul dana sebanyak RM792.9 juta.

Sebanyak 28.12 juta saham diperuntukan kepada pelabur runcit pada harga lebih rendah daripada harga institusi, iaitu 97 peratus daripada RM3.38 sesaham.

Berdasarkan harga runcit pada RM3.38 sesaham, pelaksanaan IPO itu dijangka mengumpul dana sebanyak RM422.5 juta untuk MSM.

MSM merancang untuk menggunakan modal pasaran tersebut bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan perbelanjaan modal.

CIMB Investment Bank Bhd. (CIMB Investment) dilantik sebagai penasihat utama dan koordinator global tunggal MSM untuk penyenaraian tersebut.

Sementara itu, Muhyiddin dalam teks ucapannya berkata, penyenaraian MSM akan merangsang dan membuka mata komuniti pelaburan antarabangsa.

Katanya, ia meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam syarikat-syarikat mewah tempatan (blue chip companies).

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 10:49 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Penyenaraian MSM tidak wajar dipolitikkan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]