Rancang beli tanah di ASEAN



Muhyiddin Yassin (tengah) bersama para tetamu khas memegang buku prospektus pada Majlis Pelancaran Prospektus MSM Malaysia Holdings Bhd. di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Jun – Syarikat pengeluar gula proses terbesar di Malaysia, MSM Holdings Bhd. (MSM) merancang untuk membeli tanah perladangan tebu di negara-negara ASEAN untuk mengurangkan kebergantungan import gula mentah.

MSM yang merupakan syarikat milik Felda Global Venture Holdings Sdn. Bhd. (Felda Global) kini mengimport 95 peratus gula mentah dari Brazil, Australia dan Thailand.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Group, Datuk Sabri Ahmad berkata, selain ASEAN, MSM juga merancang untuk membeli tanah-tanah perladangan di Brazil dan negara-negara di benua Afrika.

Katanya, tindakan itu juga bagi memastikan keselamatan makanan di negara ini terjamin selain merupakan pelaburan semula syarikat.

‘’Kami dalam proses kajian mengenai pembelian tanah ladang itu termasuk di Sulawesi, Indonesia bagi memastikan pengurangan kebergantungan gula mentah dari negara-negara lain,’’ jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran prospektus MSM Holding Bhd. di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Mohd. Isa Sabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pelaburan dan Korporat CIMB Group Bhd., Datuk Charon Wardini Mokhzani dan Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Chua Say Sin.

MSM akan disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia pada 28 Jun depan dan akan menutup tawaran runcitnya pada 13 Jun ini.

Melalui tawaran awam permulaan (IPO) itu, MSM akan menerbitkan 234.6 juta saham biasa pada harga RM0.50 sesaham

Harga institusi adalah RM3.38 sesaham manakala harga runcit adalah 97 peratus daripada harga institusi.

CIMB Investment Bank Bhd. (CIMB Investment) dilantik sebagai penasihat utama dan koordinator global tunggal MSM untuk penyenaraian tersebut.

Dalam pada itu, Say Sin menambah, melalui penyenaraian MSM di pasaran utama Bursa Malaysia, syarikat merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran gula daripada 1.1 juta tan metrik setahun kepada 1.5 juta tan metrik setahun menjelang 2016.

Katanya, MSM juga menyasarkan untuk meningkatkan eksport gula diproses ke luar negara kepada 150,000 tan metrik setahun.

Pada tahun lalu jelasnya, MSM mengeksport sebanyak 80,000 tan metrik bersamaan 11.5 peratus daripada pengeluaran syarikat.

Sementara itu, Charon Wardini menambah, peruntukan saham telah ditentukan iaitu 54 peratus untuk Felda Group Bhd. diikuti Koperasi Permodalan Felda (20 peratus), kakitangan (dua peratus), pelabur runcit (dua peratus) dan pelabur lain (22 peratus).

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 10:50 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Rancang beli tanah di ASEAN

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]