UMNO tidak tutup pintu rundingan
9:03 AM
KUALA LUMPUR 7 Jun - UMNO tidak pernah menutup pintu rundingan dengan Pas biarpun kepimpinan parti itu kini dikuasai oleh golongan profesional atau kumpulan Anwarinas.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia bagi memastikan agenda perpaduan Melayu dapat dilaksanakan demi kelangsungan kemajuan dan kestabilan negara.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa positif terhadap perkara tersebut dan melihat adanya ruang dan 'cahaya' untuk kedua-dua parti itu duduk bersama membincangkan beberapa isu tertentu meliputi kepentingan bangsa dan agama.
"Beberapa kenyataan daripada Presiden Pas mengenai perundingan tertentu melibatkan isu Palestin dan isu pendidikan misalnya, walaupun hanya disebut sepatah dua, tetap memberi harapan.
"Jika kita boleh bekerjasama dalam perkara-perkara begini maka ada ruang dan cahaya untuk kita berunding.
"Saya mahu meluaskan ruang-ruang cahaya ini supaya perpaduan Melayu menjadi kemuncak kepada usaha itu," katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
Ahmad juga menolak tanggapan bahawa kerjasama UMNO dan Pas tidak mungkin terjalin berikutan sejarah silam memandangkan kepimpinan yang ada hari ini merupakan satu kumpulan baru yang hadir dengan harapan baru.