Persatuan pertama jaga kebajikan jurugambar

KUALA LUMPUR: Buat kali pertama, Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) ditubuhkan di negara ini bagi menjaga kebajikan serta meningkatkan tahap kualiti profesion itu.

Majlis pelancaran MPPA disempurnakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut bertindak sebagai Penaung MPPA.
Sambil memuji inisiatif penubuhan MPPA, Dr Mahathir dalam ucapannya, berharap persatuan yang mempunyai lebih 400 ahli itu terus menyumbang kepada kebahagiaan serta keharmonian negara.
“Sekeping gambar menceritakan seribu perkataan. Malah kerjaya jurugambar amat mencabar dan golongan ini juga sebenarnya melakar dan perakam sejarah.

“Setiap kali membaca surat khabar, saya juga kerap melihat gambar, demikian pentingnya gambar yang menceritakan pelbagai kisah.

“Banyak jurugambar media di negara ini berjaya mengambil pelbagai gambar bersejarah mengenai pelbagai perkara dan hari ini, saya gembira dengan penubuhan MPPA,” katanya pada majlis itu di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Penasihat MPPA; Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib dan Presiden MPPA, Mat Salim Shaari.
Pada majlis itu, Ahmad turut menyampaikan sumbangan RM10,000 daripada New Straits Times Press Malaysia Bhd (NSTP) kepada MPPA.

Dr Mahathir turut mengingatkan ahli MPPA untuk mengutamakan sikap saling kerjasama dan bersatu padu.

“Kerjaya jurugambar juga seharusnya diiktiraf. Saya berharap kerajaan akan menghargai sumbangan serta kebolehan mereka,” katanya.

Sementara itu, Mat Salim berkata, antara matlamat penubuhan MPPA termasuk menjaga kebajikan ahli persatuan serta menaik taraf dan kualiti kerja jurufoto media.

“Sejak kebelakangan ini banyak insiden menimpa jurufoto. Ada yang dipukul, disepak, ditangkap dan dikasari ketika bertugas,” katanya.

“Kita amat kecewa dengan kejadian seperti ini dan inilah peranan MPPA iaitu menjadi suara jurufoto media Malaysia,” katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:40 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Persatuan pertama jaga kebajikan jurugambar

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]