RSIB RANCANG BUKA 10 PASAR IKAN SEGAR
10:03 AM
RSIB rancang buka 10 pasar ikan segar
KUALA LUMPUR 3 Julai - Setelah setahun menerokai perniagaan makanan dan minuman, Restoran Sekinchan Ikan Bakar Sdn. Bhd. (RSIB) merancang melebarkan sayapnya dengan membuka 10 buah pasar ikan segar di sekitar Lembah Klang.
Pasar yang dikenali sebagai Sekinchan Ikan Segar (SIS) itu akan menawarkan pelbagai jenis ikan pada harga yang dijamin lebih rendah daripada harga pasaran.
Pengasas dan Pengarah Urusan RSIB, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, syarikatnya telah mendapat permit daripada kerajaan untuk mengimport ikan dari Indonesia bagi mengimbangi kekurangan ikan di pasaran tempatan.
"Sebagai permulaan, beberapa pasar sementara SIS akan dibuka bersebelahan dengan restoran RSIB cawangan Gombak, Setiawangsa dan sebuah lagi masih dalam perancangan.
"Kami akan membawa masuk 30 hingga 50 tan ikan segar sehari dan kami jangkakan SIS akan mula beroperasi dalam tempoh tiga minggu lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan ke-16 RSIB di Mahkota Cheras, baru-baru ini.
Jamal berkata, idea memperkenalkan SIS tercetus apabila rangkaian restorannya mengalami masalah mendapatkan bekalan ikan segar berikutan tindakan nelayan laut dalam menghentikan operasi mereka akibat penarikan balik subsidi diesel.
"Tindakan mereka menyebabkan RSIB kekurangan simpanan ikan segar dan jika ada pun harganya melambung tinggi.
"Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk mencari bekalan ikan dari luar negara. Hasilnya saya dapati harga ikan di Indonesia jauh lebih murah berbanding di sini," jelasnya.
Beliau berkata, pasar SIS diwujudkan bagi membantu penduduk Kuala Lumpur dan Selangor memperoleh bekalan ikan segar pada harga yang murah.
"Saya akan pastikan harga yang ditawarkan SIS sentiasa lebih rendah daripada harga pasaran. Harga ikan kami akan dipantau setiap masa agar tidak menghampakan pelanggan.
Katanya, beliau telah memperuntukkan RM2 juta bagi menampung kos pembinaan 10 buah pasar SIS dengan lokasinya berdekatan dengan RSIB.
"Kami akan jadikan 10 buah pasar ini sebagai penanda aras sebelum mengambil keputusan memperluaskannya lagi.
"Berdasarkan pemerhatian saya, permintaan ikan segar di ibu kota sangat tinggi dan jika SIS mampu menawarkan harga yang menarik, saya yakin SIS boleh berkembang lebih pantas," ujarnya.
Tambah beliau, usahanya menubuhkan SIS adalah salah satu daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang selama ini banyak membantu pertumbuhan pesat RSIB.