Bahagian UMNO diarah laksana SPSB

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Kesemua 191 bahagian UMNO di seluruh negara diarah melaksanakan modul Satu Program Setiap Bulan Setiap Bahagian (SPSB) bagi menjayakan hasrat Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) parti juara rakyat.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini kerana modul yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 13 Oktober lalu bertujuan memperkasa jentera penerangan parti secara menyeluruh.
Beliau berkata, juara rakyat merupakan konsep yang akan membela rakyat iaitu rakyat didahulukan dan segala permasalahan rakyat akan diberi keutamaan.
''Sejak bermula Ogos lalu, 83 daripada 191 UMNO bahagian telah melaksanakan SPSB masing-masing.
''SPSB bukan sahaja akan menjadi medium memperjelaskan hasrat Perdana Menteri tetapi sebagai mekanisme untuk menerangkan mengenai pindaan perlembagaan yang dilakukan kerajaan pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat 19 wartawan dari Bukittinggi, Sumatera Barat di Galeri UMNO, Menara Datuk Onn di sini hari ini.
Ahmad Maslan berkata, program penerangan itu tidak semestinya menerusi ceramah sebaliknya boleh dilaksanakan melalui aktiviti penerangan lain di peringkat bahagian dan cawangan.
Katanya, antara usaha terpenting memperkukuhkan UMNO ialah memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi jentera penerangan di semua peringkat.
''Ketua Penerangan perlu mempunyai KPI daripada segi jumlah program penerangan yang dibuat terutamanya oleh UMNO cawangan, bahagian, negeri dan pusat," katanya.
Mengulas mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, beliau berkata, kedua-dua negara adalah serumpun dan sudah semestinya hubungan dua hala akan dijaga.
Ketika ditanya salah seorang wartawan dari Indonesia mengenai perancangan UMNO dalam memperkasakan lagi parti, beliau berkata:
''UMNO dan BN akan menumpukan tiga aspek utama untuk diberi penekanan. Pertama, mengubah UMNO secara sistematik dan berperlembagaan, menyelesaikan kemelut dalam parti komponen seperti MCA dan MIC dan menjadikan 1Malaysia sebagai misi nasional."
Beliau juga menjelaskan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang merupakan medium perpaduan rakyat dan satu lagi mekanisme untuk mencapai Wawasan 2020.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:06 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Bahagian UMNO diarah laksana SPSB

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]