Pindaan perlembagaan merakyatkan UMNO

MELAKA 11 Okt. - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pindaan perlembagaan parti yang dijangka diluluskan oleh seluruh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO minggu depan akan lebih merakyatkan parti.
Menurut beliau, pindaan tersebut adalah transformasi yang cukup besar kepada parti di mana proses pemilihan kepimpinan pada masa akan datang akan melibatkan lebih daripada 140,000 ahli.
Katanya, penghapusan sistem kuota yang dijangka mendapat sokongan daripada seluruh perwakilan yang akan bersidang dari 13 hingga 16 Oktober ini sekali gus akan memberi ruang yang lebih luas kepada ahli menawarkan diri berkhidmat kepada parti.
Beliau menambah, cadangan pindaan perlembagaan parti adalah bertujuan bagi merealisasikan perubahan yang diperlukan oleh seluruh anggota UMNO hingga ke peringkat akar umbi.
"Perhimpunan agung UMNO kali ini mempunyai dua sejarah tersendiri kerana ini adalah perhimpunan pertama di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden baru UMNO.
"Sejarah kedua pula, akan melihat pindaan perlembagaan parti merupakan perubahan yang cukup besar kepada parti dan ia dilihat akan lebih merakyatkan UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-71 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh dekat sini hari ini.
Ahmad menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.
Beliau berkata, cadangan lain yang akan dikemukakan untuk dibahas pada perhimpunan itu mengenai penurunan kuasa yang lebih akan diberikan kepada Pemuda, Wanita dan Puteri yang secara automatik akan menjadi perwakilan ke peringkat bahagian.
Selain itu katanya, pembayaran yuran seumur hidup juga akan turut mendapat perhatian daripada perwakilan.
"Semua pindaan itu dijangka diluluskan oleh seluruh perwakilan yang akan membahaskannya pada hari pertama perhimpunan berlangsung.
"Saya amat berharap perhimpunan ini akan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad turut mengingatkan kepada semua perwakilan agar tidak membahaskan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan mana-mana pihak atau parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).
"Kita tidak boleh menyentuh hal-hal sensitif dan hasutan kerana itu sudah menjadi peraturan pada mana-mana persidangan UMNO," ujarnya.
Beliau menegaskan, perkara tersebut kerap diingatkan kepada seluruh perwakilan sebelum berlangsungnya satu-satu perhimpunan UMNO.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:00 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Pindaan perlembagaan merakyatkan UMNO

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]