SUNTIKAN SEMANGAT NELAYAN

PONTIAN 4 Nov. - Kehidupan golongan nelayan ibarat ombak di laut, ada pasang surutnya. Menyedari pendapatan yang tidak menentu dan demi membantu mereka menjalani kehidupan lebih selesa, kerajaan memperkenalkan pemberian elaun sara hidup bermula Jun tahun lalu yang melibatkan kira-kira 80,000 nelayan.
Bantuan wang tunai sebanyak RM200 sebulan yang diterima merupakan usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi meringankan beban kewangan golongan nelayan di negara ini.

Insentif itu susulan pemberian subsidi pembelian minyak diesel, juga untuk membantu golongan berkenaan berdepan krisis kenaikan harga minyak dalam pasaran dunia.
Kira-kira RM180 juta setahun diperuntukkan untuk membiayai elaun sara hidup itu yang disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Bagi negeri Johor, sebanyak RM13.7 juta telah diagihkan kepada hampir 5,000 nelayan yang bernaung di bawah lapan persatuan nelayan kawasan (PNK) sejak Jun 2008 hingga September tahun ini.
Pengarah LKIM Johor, Mohd. Norbi Abu Hassan berkata, lapan PNK itu adalah Pontian, Johor Selatan, Muar, Batu Pahat, Pengerang, Sedili, Mersing dan Endau.
"Kita perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan elaun sara hidup kepada golongan nelayan di negara ini," katanya pada majlis penyampaian bantuan tersebut di daerah Pontian baru-baru ini.
Pada majlis itu, seramai 484 nelayan yang bernaung di bawah PNK Pontian menerima wang tunai RM200 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Mohd. Norbi berkata, golongan nelayan juga digalakkan menyertai industri hiliran berkaitan hasil-hasil laut bagi menambahkan pendapatan keluarga memandangkan pendapatan ke laut yang tidak menentu.
Antara industri yang giat dijalankan oleh masyarakat nelayan seperti penyediaan makanan sejuk beku berasaskan hasil laut seperti ikan, udang dan ketam selain penghasilan ikan kering.
Beliau berkata, LKIM juga mempunyai beberapa program khas bagi meningkatkan pendapatan golongan nelayan sekali gus memberi keselesaan hidup kepada mereka seperti Program Mempelbagai dan Meningkatkan Pendapatan, Program Meningkatkan Ekonomi-Skim Pendapatan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dan Program Dana Nelayan.
Turut disediakan adalah Projek Kecil Pertanian, Projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan Negeri Terengganu dan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).
Sementara itu, Ahmad Maslan memberitahu, tiada negara lain yang mengambil langkah memberikan elaun sara hidup kepada golongan nelayan.
Beliau berkata, pemberian elaun sara hidup itu menepati gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dalam membela nasib golongan tersebut.
"Tiada satu negara yang melakukan langkah seperti kerajaan Malaysia yang memperuntukkan perbelanjaan besar setiap tahun walaupun dalam keadaan ekonomi yang masih belum stabil," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 12:58 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for SUNTIKAN SEMANGAT NELAYAN

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]