Petani beli alatan pertanian separuh harga

PONTIAN 7 Jan. - Ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pontian Tengah di sini gembira dengan pelaksanaan program geran padanan (matching grant) kerana ia membantu mereka mendapat peralatan pertanian dengan separuh harga.
Program yang mula diperkenalkan tahun ini adalah hasil usaha Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara.
Utusan Malaysia sempat menemui beberapa petani yang menerima sijil pembelian peralatan kecil pertanian yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan, di Ayer Baloi, di sini, baru-baru ini.
Seorang petani, Suparman Manan, 62, dari Kampung Parit Panjang berkata, beliau membeli seunit penyembur yang dikenali Power Sprayer bagi memudahkan kerja meracun di kebun kelapa sawit miliknya yang berkeluasan empat hektar.
Katanya, harga yang ditawarkan bagi membeli peralatan tersebut ialah RM750 berbanding harga asal sebanyak RM1,500 dan ini banyak membantu golongan petani sepertinya.
Menurut beliau, dengan adanya peralatan tersebut akan melancarkan lagi kerja-kerja penyemburan racun bagi memastikan kebersihan ladangnya.
"Ini penting bagi memberikan pengeluaran hasil yang memuaskan di samping mutu buah kelapa sawit yang memenuhi kehendak pasaran pada sepanjang masa," ujarnya.
Suparman mengucapkan terima kasih kepada PPK Pontian Tengah kerana sentiasa menjaga kebajikan dan kepentingan ahli-ahli sekali gus memajukan taraf hidup mereka.
Bagi Mohd. Nor Ibrahim, 43, pula telah membeli sebuah mesin rumput yang akan digunakan di kebun kelapa sawit seluas 2.8 hektar bagi kerja-kerja memotong rumput dan sebagainya.
Menurutnya, di samping berkebun, beliau juga melibatkan diri dengan kegiatan menternak kambing dan lembu bagi menambahkan lagi pendapatan keluarga.
"Memandangkan harga kelapa sawit tidak menentu, hasil penjualan kambing dan lembu akan membantu memberikan pendapatan tambahan.
"Dengan kos sara hidup yang semakin bertambah, golongan petani dan peladang memerlukan pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan bagi menyara kehidupan," ujarnya.
Turut sama membeli peralatan pertanian melalui skim tersebut adalah Haron Dakyem, 50, dari Kampung Parit 2, Sanglang yang mengusahakan tanaman kontan di atas tanah seluas 1.6 hektar.
Katanya, antara tanaman yang diusaha kini ialah seperti ubi, keladi, pisang dan lain-lain yang kini mendapat pasaran menggalakkan sama ada oleh orang perseorangan atau menjualnya di pasar-pasar tani.
Menurut beliau, usaha pertanian masa kini memerlukan peralatan moden bagi mempercepatkan kerja-kerja di kebun agar pengeluaran hasil dapat ditingkatkan sepanjang masa.
"Saya bersyukur kerana kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada sektor pertanian dengan menyediakan pelbagai kemudahan bagi meningkatkan taraf hidup kami," jelas Haron.
Seorang lagi ahli PPK Pontian Tengah, Yusof Samingan, 55, berkata, sebagai petani yang menuju kearah permodenan, peralatan yang berteknologi tinggi amat diperlukan bagi melakukan tugas-tugas seharian.
Katanya, sebab itu beliau tidak melepaskan peluang yang ditawarkan melalui skim geran padanan ini kerana harga peralatan yang ditawarkan adalah sangat menarik.
Dalam masa katanya, ia juga dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja memandangkan golongan muda kurang berminat untuk melakukan kerja-kerja di kebun atau ladang.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:24 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Petani beli alatan pertanian separuh harga

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]