Bukti kegagalan Anwar pimpin PKR




KUALA LUMPUR 12 Feb. - Keputusan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin parti itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sikap Anwar yang tidak mempedulikan kritikan oleh beberapa wakil rakyat PKR termasuk Zahrain terhadap sekutunya, DAP menyerlahkan kepincangan itu.
"Saya rasa sebab Anwar lebih suka menjaga hubungan politik (dengan DAP), jadi dia tidak berani buat apa-apa.
"Akhirnya yang mengkritik dengan sendirinya akan keluar parti, saya yakin penghijrahan Zahrain ini akan cetuskan penghijrahan lebih ramai Ahli Parlimen PKR," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zahrain yang merupakan bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang mengumumkan menjadi Ahli Parlimen Bebas pada sidang akhbar di Petaling Jaya, pagi ini.
Mengulas lanjut, Khairy tidak menolak kemungkinan keputusan Zahrain itu didorong krisis keyakinan terhadap Anwar selepas pertuduhan liwatnya mula dibicarakan di mahkamah.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam kenyataannya mengucapkan syabas kepada Zahrain atas keberaniannya keluar parti kerana menolak kepimpinan diktator Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
"Kerajaan pembangkang yang 'hangat-hangat tahi ayam' diketuai oleh seorang diktator DAP di Pulau Pinang ditolak rakyat kerana mereka sedar penganiayaan sedang berlaku.
"Terkini sandiwara dan belang Guan Eng jelas apabila kerajaan beliau tidak membenarkan dan menolak program perarakan Maulidur Rasul yang menjadi tradisi orang Islam," katanya.
Di Kuching, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, keputusan Zahrain meninggalkan PKR adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan.
Katanya, tindakan Zahrain itu menunjukkan beliau yakin dengan dakwaannya terhadap masalah kepimpinan dalam pakatan pembangkang.
''Saya yakin tindakan beliau akan diikuti lebih ramai penyokong pakatan pembangkang yang tidak berpuas hati dan kecewa dengan kepemimpinan serta perjuangan parti berkenaan," katanya
Dalam pada itu, Ahmad berkata, UMNO sentiasa bersikap terbuka dalam menerima kemasukan bekas ahli serta pemimpin pembangkang untuk menyertai parti itu.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 7:34 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Bukti kegagalan Anwar pimpin PKR

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]