Jawatan TPM II hanya mahu raih sokongan

PONTIAN 30 Mei - Tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri II kepada DAP yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya bertujuan mahu meraih keuntungan politik semata- mata.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sejak 1957 negara ini telah diperintah dengan baik tanpa memerlukan jawatan Timbalan Perdana Menteri II.

Menurut beliau, masyarakat Cina juga tidak pernah mendesak jawatan tersebut diberikan kepada mereka kerana telah mempunyai kuota yang mencukupi bagi jawatan menteri dan timbalan menteri.

Katanya, walaupun MCA dan Gerakan gagal memenangi banyak kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, Barisan Nasional (BN) tetap memenuhi kuota jawatan untuk mereka seperti biasa.

"Datuk Seri Anwar adalah seorang oportunis yang akan menjanjikan apa jua termasuk bulan dan bintang bagi memenuhi hasrat dan cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

"Tetapi tentunya masyarakat Cina tidak akan lupa pembohongan 16 September 2008 apabila mendakwa 30 ahli Parlimen BN akan melompat parti," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Belia Daerah (MBD) Pontian di Hotel Pontian di sini hari ini.

Beliau mengulas janji Ketua Pembangkang itu yang menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II kepada DAP seperti dinyatakannya dalam temuramah dengan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, ia merupakan satu lagi janji fatamorgana, ilusi dan khayalan Anwar yang sudah bankrap idea.

"Taburan janji tidak lain untuk mengatasi kerajaan BN yang akan terus mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian daripada menabur janji-janji yang tidak pasti kebenarannya," ujarnya.

Katanya, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sejak 50 tahun lalu hingga sekarang bekerja untuk seluruh lapisan rakyat Malaysia, maka tidak perlu isu tersebut ditimbulkan.

Menurut Ahmad, jika Anwar benar-benar mahu memenuhi kehendak demokrasi, beliau sepatutnya melepaskan jawatan Ketua Pembangkang kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya mempunyai 24 kerusi di Dewan Rakyat berbanding DAP yang mempunyai 29 kerusi.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 10:07 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Jawatan TPM II hanya mahu raih sokongan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]