Parti komponen BN Sarawak disaran ubah cara kempen
10:03 PM
KUALA LUMPUR 19 Mei - Parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak disaran mengadakan kursus jentera pilihan raya 'ala Semenanjung' sebagai persediaan berhadapan dengan kempen agresif pembangkang.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, jentera BN di Sarawak seakan-akan 'terkejut' dengan kempen agresif pembangkang semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu yang baru lalu.
"Banyak poster dan risalah berbentuk fitnah ditabur. Isu sensitif perkauman dimainkan di mana-mana sahaja dalam ceramah walaupun perkara itu sudah dijelaskan banyak kali di Semenanjung," katanya pada sidang akhbar di Menara Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengumumkan program Juara Rakyat peringkat Wilayah Persekutuan akan dilancarkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Mei ini.
Ahmad Maslan menambah, terdapat beberapa perkara yang menjadi kelaziman kepada jentera BN di Semenanjung tetapi tidak dipraktikkan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu di Sarawak baru-baru ini.
"Di Semenanjung kita ada mesyuarat setiap malam, markas induk, berbelas-belas ceramah setiap malam, kempen rumah ke rumah dan sidang akhbar khas setiap hari.
"Perkara itu tidak berlaku di Sibu sedangkan parti pembangkang yang bertanding telah membawa kaedah yang sama dari Semenanjung," ujarnya.
Mengulas kesediaan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berundur daripada parti itu dalam tempoh lapan atau sembilan bulan sebelum pemilihan parti itu pada 2012, beliau menyifatkannya sebagai sesuatu yang positif.
"Beliau menunjukkan keikhlasan untuk menyerahkan kepimpinan lebih awal agar Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel mempunyai masa membuat persediaan memimpin parti.
"Selama ini, terdapat persepsi negatif terhadap Samy Vellu walaupun perkara itu belum tentu benar. Tetapi persepsi itu kini mula pudar, masyarakat India kembali menyokong BN dan tindakan beliau ini adalah positif," ujarnya.