Pemimpin Parti Komponen BN Sambut Baik Saranan PM Untuk Bidas Penipuan Pembangkang
10:08 PM
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar parti komponen Barisan Nasional (BN) membidas kesemua penipuan dan tohmahan yang disebarkan pembangkang mendapat sokongan daripada pemimpin parti berkenaan.
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata semua parti komponen harus bekerja secara berkumpulan untuk membetulkan dan menerangkan dengan jelas setiap dakwaan pembangkang yang difikirkan tidak benar.
"Mereka suka putar belit isu dan bagi kata-kata yang tak benar. Mereka juga nak buat tuduhan liar untuk dapatkan "political mileage" dan kita tak boleh biarkan ini berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.
Beliau berkata sekiranya BN mengambil pendekatan memberi penjelasan kepada tohmahan yang dilemparkan, rakyat akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang apa sebenarnya yang berlaku dan tidak terus percaya dengan tohmahan tersebut.
"Macam hari ni Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP dan ketua menteri Pulau Pinang) kata dalam akhbar Cina, Perdana Menteri lebih pentingkan rakyat bagi nama pada kucing beliau daripada kebajikan orang di Pulau Pinang...contohnya isu jambatan. Mereka mempolitikkan semua isu dan cakap yang tak betul.
"Memang kerajaan telah ambil perhatian dan maklum balas rakyat...sebab tu Perdana Menteri ada dasar penting...mesti dapatkan maklum balas dari rakyat dan tak benar pembangkang kata kita (kerajaan) garis dasar tanpa timbang pendapat rakyat," katanya.
Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Velly pula berkata gesaan Perdana Menteri itu adalah tepat dalam menjamin kestabilan dan perpaduan di kalangan parti komponen.
"Di pihak MIC kami selalu membawa sebarang masalah ke mesyuarat Majlis Tertinggi BN, di situlah tempatnya untuk bincang rasa tak puas hati dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Isnin.
Beliau berkata MIC menyokong penuh saranan tersebut dan sedang bersiap-sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 pada bila-bila masa.
Selain itu katanya, MIC turut menggerakkan jentera parti dengan mengadakan sesi penerangan yang melibatkan ketua-ketua Cawangan MIC di seluruh negara untuk menyangkal segala dakwaan yang dilemparkan pembangkang kepada BN, bermula daripada peringkat akar umbi.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas berkata pihaknya telah memberi arahan kepada kepimpinan parti dari peringkat nasional ke peringkat cawangan untuk memberi penerangan kepada anggota parti serta orang ramai mengenai dakwaan pembangkang.
"Kita beritahu semua ketua penerangan untuk semak semua sumber laporan pembangkang dalam media massa, internet dan sebagainya..jawab, bagi penjelasan dan fakta yang betul. Kalau keadaan perlukan kita hentam, kita akan hentam balik," katanya.
Beliau berkata dalam usaha memberikan penjelaskan dan pembetulan terhadap dakwaan pembangkang, perlu mengekalkan cara BN yang sentiasa bersopan, berbudi bahasa dan menggunakan cara yang baik.
"Zaman Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia yang pertama) pun tak pernah buat macam pembangkang sekarang. Ini budaya baru, fitnah, hentam dan cakap perkara-perkara yang tiada fakta. Kita jangan ikut budaya mereka..tapi ikut nasihat dan arahan PM, bagi penjelasan yang betul," katanya.
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula berkata kecenderungan akhbar pembangkang untuk menulis laporan berat sebelah haruslah ditangani dengan bantuan akhbar lain yang pro-BN.
Katanya Umno akan menggunakan pendekatan 4M dalam menghadapi setiap tuduhan pembangkang. Ia merangkumi Media Bersemuka (ceramah, forum, kuliah), Media Cetak, Media Elektronik dan Media Maya (blog dan laman web).
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 10:08 PM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0